Isolasi



Seusai tamat peperiksaan hari terakhir 28 Julai 2020, secara rasmi aku menamatkan sesi pengajian di Universiti Al-Azhar, menghabiskan sisa-sisa masa lagi di Mesir. 

Kalau nak dicerita cereka, sememangnya tahun ini tahun yang sangat menguji jiwa raga, tahun covid-19 melanda sarwa dunia, mengecam nyawa hampir suku umat manusia. Tamadun besar eropah dan barat hampir collapse dek penangan sebangsa virus ini. Dahsyat betul. 
Dek kerana itu, manusia dihambat mengunci diri di kediaman masing-masing, isolasi dari dunia luar, di sana bangsa seni diberi nama si corona sedang melapah-lapah umat bani adam. Segalanya berubah, jalan raya yang sesak jadi lenggang, pasar raya yang penuh jadi sunyi, kepulan asap hitam menghakis ozon pun tiada terlihat di mata, kini bangsa haiwan pula bermaharajalela menhirup udara segar di luar, sedangkan manusia sedang sesak di kurungan. Dunia seakan terbalik. 

Begitu perihalnya di bumi Mesir, di awal fasa seluruh pelajar tak terlepas dilanda serangan panic, memandangkan statistik kematian dan jangkitan pandemik ini semakin meningkat, ibu bapa keluarga semua tak henti-henti call, tanya kesihatan dan keadaan di Mesir. Tambah pula, muncul agensi-agensi Ngo yang menawarkan untuk misi membawa pulang pelajar ke Malaysia, maka berbodong-bodonglah pesawat Malaysia keluar masuk Mesir untuk misi ini. Masa ini lah pelajar diuji untuk membuat keputusan, samada stay di sini atau pulang ke Malaysia, mesti ditimbang akan kesihatan dan keselamatan diri, permintaan kerisauan family tak kurang ada juga pulang sebab semua ahli rumahnya pulang, tiada pilihan selain pulang walaupun tiket ketika itu mencecah Rm 3000. Dianggarkan ketika ini hampir 70% pelajar malaysia sudah pulang ke Malaysia, hanya berbaki 2500 lebih saja daripada asalnya 11k jumlah pelajar Malaysia di Mesir. 

Aku? Ya aku masih di dalam bilik melihat kawan-kawan pulang ke tanah air, berjumpa keluarga. Hati mana tak menangis. Saat ini perlu keteguhan hati untuk nekad dalam keputusan. Timbangan aku,

Pertama: aku di fasa semester terakhir di tahun akhir, jadi agak rugi jika aku pulang dalam keadaan tidak menghabiskan pengajian, jika pulang tak tentu lagi akan kembali sambung di Mesir. Tambahan ketika itu, pihak universiti masih berdegil akan buat juga periksa untuk pelajar tahun akhir. Dengan belum keluar jadual, dan kenyataan yang sering flip-flop dan uturn, jiwa mana tak lemah saat ini, tapi tetap kugagahi jua. 

Kedua: Keluarga yang memahami, mak dan abah juga seperti parent lain, risau akan keselamatan anak mereka, tapi abah tak tergesa arahkan pulang, dua tiga kali abah call untuk dapatkan status sebenar akan keadaan kat Mesir, abah call pun sebab kawan-kawan abah yang cerita buat panic pasal keadaan kat Mesir. Selepas call, abah dan mak kata: “Tak apa, stay sana dulu, habiskan mana yang patut, sayang kalau dah nak habis sekerat jalan, yang penting jaga kebersihan, sanitize tangan, mandi banyak-banyak”
Saranan daripada mereka sangat menenangkan hatiku, lantas semakin membulat tekad untuk terus stay. 

Ketiga: Aku di sini tinggal bersama Syaikh Mustofa, jadi jika aku terus balik, aku risau status penetapan syaikh di sini, siapa yang akan uruskan rumah, sewa, dan bermacam-macam lagi urusan yang perlu diselenggara jika mahu pulang. Aku takkan pulang Malaysia selagi tidak berjumpa dengan Syaikh dan selesaikan urusan sebaiknya. Itu keputusanku.

Keempat: Hemat aku, jika aku tak pulang buat masa ini, sangat banyak masa yang boleh aku isi untuk murajaah, baca buku, muzakarah, dengar rakaman pengajian, buat terjemahan dan banyak lagi aktiviti ilmiah yang dapat dilakukan, jika aku pulang ke Malaysia waktu ini, aku yakin aku tak akan ada masa banyak untuk buat semua perkara ini. Tambahan lagi, dengan kemudahan internet Wi-Fi yang hanya dikongsi dua orang, banyak benda baharu yang aku explore, tak kurang banyak movie, drama series yang gempak-gempak aku tengok. Serba sedikit mengimbang aktiviti ilmiah yang aku jalankan setiap hari. 
Jadi, atas faktor-faktor ini, aku masih stay di Mesir hingga sekarang dan menjadi pengubat lara ketika bersendirian. 

Bergerak ke fasa bulan Ramadan dan Aidil fitri, inilah fasa-fasa berat buatku. Tempoh kuarantin dipanjangkan, isolasi dari jasmani dan rohani. Sahur seorang diri, buka puasa seorang diri, taraweh seorang diri, tahajud seorang diri, aku memang sepenuhnya uzlah dalam gua bilikku.Bangun pagi, sahur, solat subuh, tidur, bangun pukul 9 pagi, baca buku, tilawah quran sampai zohor, lepas zohor tidur, sampai asar, bangun solat asar, tengok drama, sejam sebelum iftar ambil makanan, berbuka, sambung tilawah sampai isya’, tarawih, selesai terawih, baca buku dan tidur. Itu lah rutin aku selama sebulan waktu ramadan. Aku tahu orang di Malaysia pun begitu, tapi sekurangnya mereka berada di sisi keluarga, aku di sini bersendirian. 
Menjelang syawal, mungkin hati sedikit terubat, pertama kali selepas dua bulan di rumah, aku ambil keputusan untuk beraya di asrama wilayah bersama rakan-rakan. Di malam raya aku ke sana, buat aktiviti memasak rendang, nasi impit sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan aidil fitri di perantauan. Syukur, suasana memang meriah walaupun banyak berbaki beberapa kerat saja pelajar yang masih tinggal di Mesir. 
Setelah habis jamuan, berehat dan aku terus pulang ke rumah. Maka, sambunglah rutin-rutin seperti sedia kala. 

Fasa memeritkan mula menyenggah apabila pihak universiti keluarkan statement peperiksaan akan dilangsungkan pada awal bulan Julai, dan jadual dikeluarkan seminggu sebelum periksa. Batinku menjerit!!! Pihak universiti masih keras kepala dan tetap dengan keputusan mereka untuk adakan peperiksaan bagi pelajar tahun akhir, sedangkan pelajar tahun lain hanya selesaikn tahun terkini mereka dengan buat bahas. Dengan kes pendemik yang masih belum selesai, dengan tiada mood untuk periksa, dan hanya tinggal seminggu, apa boleh buat masa tu hanya berserah. Waktu itu yang menguji rasionalku, adakah aku akan give up dan ambil periksa di duur sani bulan september nanti atau teruskan juga ambil exam minggu depan. Setelah ditimbang-timbang dan saranan dari rakan taulan, aku gagahkan diri untuk terus menempuh periksa kali ini. Apa nak jadi jadilah!!
Aku sememangnya agak janggal, sebab sebelum ini, sekurangnya aku akan bersedia sebulan sebelum exam, dan aku memang jenis yang well prepared, namun kini tinggal seminggu, dalam keadaan tiada kelas, tiada buku, tiada nota, alat tulis pun entah ke mana, aku mula nk putus asa. Namun, aku bangkit sekali lagi, tegakkan badan di meja study dan mula lakar perangcangan, apa yg aku boleh buat selama seminggu itu. Aku cari nota di grup kelas, yang mana yang tak ada aku cari nota di internet, kemudian print untuk beri lebih tumpuan untuk bacaan fizikal. Setelah semua nota ada, aku susun jadual, subjek apa yang perlu dibaca dahulu dan subjek yang dibaca kemudian. Aku disiplinkan betul diri dan manfaatkan semaksimumnya masa yang ada untuk baca dan hadam nota setiap subjek. Kekadang hilang juga semangat, sebab teringat kat keluarga, dalam keadaan periksa di kala orang lain tak periksa, dengan tiada suasana, selalunya jika waktu exam begini semua kawan-kawan pakat share perasaan, aktiviti persediaan exam masing-masing, tapi kini aku keseorangam. Faham kan rasanya bagaimana??

5 Julai bermula tarikh peperiksaan akhir, dengan segala persiapan mental, aku juga perlu persiapan fizikal, sebelum keluar rumah, aku siapkan diri, pakai pelitup muka, sanitasi tangan, bawak semua alatan bergerak ke dewan peperiksaan. Di dalam dewan, kami diarahkan untuk menjaga jarak, satu baris seorang, aku ditempatkan di dewan Imam Dardir tingkat 2 di bangunan Usuluddin. 
Alhamdulillah peperiksaan selama sebulan berjalan dengan lancar, walaupun ada subjek yang mudah, ada yang susah begitulah lumrah ujian di al-Azhar. 

Kini, selesai sudah perjuanganku selama 4 tahun pengajian di Universiti al-Azhar yang penuh liku, dan aku berasakan suatu kepuasan setelah melalui fasa-fasa memeritkan terutama di kala pandemik covid ini, aku berjaya setakat ini untuk mengharunginya. Kala ini, aku hanya perlu menunggu keputusan peperiksaan, dan menghabiskan sisa-sisa kehidupan di bumi tercinta, bumi anbiya, bumi auliya, bumi sejarah, bumi ilmu, bumi seribu menara, bumi ummud dunya. 

Setakat ini lah warkah panjang lebar yang aku karangkan sebagai diari yang aku akan baca di masa akan datang, sebuah catatan yang menghimpunkan segala buah fikir dan emosiku saat ini. Juga sebagai pembacaan kepada rakan-rakan yang mengalami pengalaman yang sama dan kawan-kawan yang ingin tahu apa yang berlaku kepada kamj sepanjang tempoh ini. 

Terima kasih sekali lagi kerana sudi membaca dan bertahan sehingga sekarang. Doakan kami terus kuat di sini hingga ke masa-masa akhir akan pulang ke tanah air tercinta. 

Salam aidil adha.

5.05 am,
1/8/20
Bait Darosah,
Cairo.

Ulasan

  1. How to open a casino in Oklahoma - Klahomacasinoguru
    A lot of people think the best thing about being at 블랙 잭 게임 the casino is how much you 실시간 바카라사이트 can make. You moonpay don't have to wait 스포츠 무료중계 for 샌즈 a new gaming area to

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari