Warkah buat Graduan SPM

Pertama sekali, surat ini dirangka atas dasar kesedaran intelek dan cetusan rasa kasih sayang aku kepada kalian sedaging sedarah yang berkongsi nasab bangsa dan bahasa. Sekarang mungkin fasa kalian berkira-kira menyusun perancangan akan kemanakah arah tuju hidup kalian dengan berbekalkan selembar kertas putih yang tercoret hasil usaha kalian dua tahun menghadapi mehnah peperiksaan.
Oleh hal yang demikian, aku ingin membawa kalian berlayar sekejap bersama-samaku ke suatu samudera baharu yang mungkin akan membantu meluaskan jajahan takluk minda kalian tentang bagaimana arah tuju hidup kalian selepas ini.

*Agamawan Pintar*

Ini bukanlah suatu istilah baru, tetapi sudah lama tertanam dalam lipatan sirah inspirasi kita semua junjungan besar, Nabi Al-Mustofa yang juga mempunyai dan dihiasi sifat wajib baginya iaitu Al-Fatonah. Nabi Muhammad yang merupakan insan mulia diutuskan Allah kepada ummah yang membawa agama Allah mempunyai kecerdikkan yang tiada tolok bandingnya. Ini bermakna manifestasi kecerdikkan amat diperlukan oleh orang yang membawa agama Allah ini.

Lihat pula para sahabat nabi (Radiallahuanhum),mereka terdiri daripada orang yang cerdas pemikiran, bukan sekadar membuta tuli menghafal ayat quran, hadis nabi dan kemudian memuntahkan hafalan mereka, bahkan mereka orang yang pakar menghurai, mengaplikasi ilmu, merasionalkan ilmu-ilmu dengan menjadikan ilmu agama ini segar lagi rahmat.

Berturut juga a’lim-a’lim ulama, bergerak dari zaman ke zaman yang telah tercatat, bahawa pembawa agama Allah ini lahir dari golongan cendekiawan yang sangat unik dan hebat hafalan dan pemikiran mereka sehingga nilai ilmu Islam dianggkat dan agama Islam menjadi tinggi dek kehebatan pengamal dan pendokongnya. Tidak cukup dengan kehebatan para ulama hadis, bahkan juga ulama tafsir, ulama fiqih dan ulama aliran mazhab.

Allahurabbi, kita dah serba tahu dan membesar dengan cerita-cerita kehebatan dan kecerdasan minda mereka dalam memimpin ilmu agama Allah yang mulia ini.

Jadi, ikon-ikon inilah menjadikan nilai ilmu Islam dipandang tinggi seantero dunia malah sepelusuk desa mengetahuai kehebatan ilmuan Islam. Ilmu agama Allah ini memerlukan insan yang diberi kurniaan Allah dengan kepandaian, kecerdikkan dan kepintaraan kepada mereka untuk menghurai, memtajdid ilmu Islam ini dengan landasan Quran dan Sunnah dengan lebih efisien, rasional dan terkehadapan dalam membimbing ummat. Sebab itulah orang cerdik pandai ini harus menceburkan diri dalam keilmuan Islam agar penghuraian mereka lebih teliti, lontaran idea mereka lebih bernas, dan penyelesaian masalah ummah boleh diselesaikan dengan lebih tepat.

Berbanding jika ilmu agama islam ini diambil alih oleh  golongan  yang lemah ingatan, kurang cerdik, minda meracau dan akhlak ke laut. Perbincangan-perbincangan ilmu-ilmu Islam mungkin hanya dibuat ala kadar, lepas tangan dan sekadar menunaikan kerja yang diberikan. Ini juga memberi kesan yang berpanjangan kepada kedudukan dan martabat ilmu Islam itu sendiri diletakkan diminda kelas bawahan, malah minda kelas atasan berebut mencanang ilmu akademik yang sepatutnya diberi perhatian kedua.

‘Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya..”

*Ilmu Islam Disemborono*

“Kamu dapat berapa SPM?”

“ 11A”

“Oh..amik medic ka engineering?”

“Kamu dapat berapa SPM?”

“2A”

“Oh..amik Usuluddin ka Syariah?”

“Oh..ka nak masuk tahfiz?”

Inilah dialog cliché dan polemik yang kita hadap tiap kali selepas mendapat keputusan apa-apa peperiksaan pun.

 Hah, kalian pun mengakuinya.

Jikalau ia tidak berlaku dari kalangan kalian, percayalah inilah mind-set masyarakat dan ibu bapa para pelajar di segenap lapisan masyarakat. Ilmu agama Islam hanya diberi kepada golongan yang berfikiran atau otak kelas bawahan, dan pengambilan kos pengajian Islam hanya menjadi pilihan terakhir selepas kesemua tawaran kos yang dikehendaki dan difikirkan baik itu terlepas.

Selain itu, sekolah-sekolah agama juga menjadi tempat buangan pelajar bermasalah, yang nakal, yang ganas, buas, kaki ponteng, tak nak belajar, akhlak buruk, merokok, semuanya dilemparkan ke sekolah agama. Seolah-olah sekolah agama atau tahfiz ini adalah mesin basuhan untuk membersihkan anak-anak mereka. Jadi kesannya, orang yang mengambil pengkhususan bidang agama ini adalah dari golongan-golongan yang sedemikian. Sedangkan pelajar-pelajar yang cerdik, yang berakhlak, sopan, beradab, semuanya dihantar ke sekolah yang aliran akademik. Manakan tidak kita lihat banding tara ini antara penampilan atau impression orang agamawan dan orang professional mempunyai jurang perbezaan yang amat ketara. Mahupun dari segi ilmu penguasaan, ataupun dari segi akhlak syakhsiah. Kalian juga dapat bezakan.

Teringat kata-kata seorang ustazah sewaktu pensyarahannya di dalam kelas.

“ Kalau kamu pergi Universiti, kamu lihat mahasisiwa yang merewang, gelak terbahak-bahak, meja kuliah dilangkau-langkau, maka ditanya kamu dari kos mana? Dia menjawab “Saya dari kos syariah..”

“Tapi bila kamu lihat sekelompok yang sedang belajar, akhlaknya tertib, selalu datang kelas awal, bila ditanya kamu dari kos mana? Dia akan menjawab “ Saya dari kos ekonomi.”

Nah, lihatlah sendiri manifestasinya. Walaupun bukan semua berlaku macam tu, tapi percayalah sebahagian besar di universiti berlaku sedemikian rupa. Manakan tidak golongan agamawan yang lahir dari situasi begini sendiri akan merosakkan nilai Islam itu sendiri.

*Jenayah Kopiah Putih*

Kita mendarat pula di destinasi masyarakat sebenar di luar sana. Lihat sahaja title sudah tentu kalian terfikir apakah yang ingin disampaikan. Suatu musim dahulu, kita biasa digemparkan dengan ‘jenayah kolar putih’ dimana membawa maksud, jenayah atau perilaku buruk yang dilakukan oleh golongan atasan atau golongan yang berpangkat. Jenayah ini menjadi sensasi kerana penipuan dan jenayah itu dilakukan dengan jumlah yang lebih besar, perbuatan yang lebih kejam, tapi ia terselindung disebalik kaburan nilai pangkat dan kelas-kelas yang penjenayah itu serba duduki.

Tetapi sekarang, tercetus pula satu lagi istilah ‘jenayah kopiah putih’ yang mana melibatkan golongan agamawan. Sebesar-besar jenayah sehinggalah ke perlakuan buruk kebanyakkan datang dari golongan yang digelar ‘ustaz’,’tok imam’ dan beberapa lagi title yang masyarakat berikan kepada oarng yang mengaji agama. Jenayah yang mereka lakukan terlindung dek kopiah putih bersih yang tersangkut megah dikepala mereka sedangkan hati dan pekerti mereka gelap dari sinaran cahaya ilmu.

Dari sisi lain pula, perilaku buruk serta longlai seperti pengotor, pemalas, ponteng kerja, tak tepati masa, mandom, selekeh, buat semberono yang dilakukan pelaku yang bergelar ustaz itu telah menzalimi kopiah putih yang ada di kepalanya seolah-olah mengkhianati ilmu agama yang dikendongnya.

Allahu rabbi. Ya, inilah yang berlaku disaat ini, kalian pun  nampak perkara ini berlaku di sekeliling kalian walaupun tidak semuanya begitu.

 Puncanya apa?

 Ini lah kesan dari ilmu agama yang disemboronokan dan di anak tirikan oleh masyarakat dan diserahkan pengendalinya kepada golongan kelas bawahan.

Mungkin kalian bertanya adakah daku memperlekehkan golongan kelas bawahan. Tidak sama sekali, golongan kelas bawahan tidak semestinya tidak pandai dan bukan mereka tidak ada tempat dalam bidang pengajian agama islam, tetapi apa yang daku ingin bawakan ialah sejauh mana kita dapat gapai matlamat meninggikan islam dengan menukar kerangka pemikiran kita bahawa golongan kelas minda atasan juga perlu malah wajib menceburi bidang pengajian agama islam.

*Ini Masanya*

Sahabat. Jika kalian melihat golongan yang membawa ilmu islam yang semberono itu adalah dari lingkungan usia ayah-ayah serta ibu-ibu kita. Apa yang ku ungkapkan sebelum ini, situasi ini telah terjadi di era mereka dan hasilnya kita dapat lihat pembawanya di depan mata kita sekarang. Dan zaman dan era kita telah berubah, masyarakat mula celik mata tentang ilmu Islam, mereka mula menghargai orang-orang yang membawakan ilmu Islam. Jadi, kalian dan daku adalah generasi mutaakhir yang akan mengukir Islam mungkin dalam masa 10-15 tahun lagi.

Inilah masanya kita merubah ummat dengan kerangka wahyu.  Jadikan kecerdikan dan kepintaran kalian sebagai modal besar untuk membawa ilmu pengajian Islam ke tempat dan martabat yang tertinggi. Agama Islam ini perlukan ramai lagi penuntut ilmu yang cerdas , berakhlak baik dan punya jati diri yang kukuh untuk mengangkat kembali agama islam dengan keilmuan yang mampan di waktu agama Islam dicerca dan dilempar batu oleh puak sekular dan liberal. Islam perlukan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang baru bagi menandingi keparat-keparat golongan menghina agama Allah dengan akal mereka agar mereka tunduk sujud atas kehebatan Islam dan Allah sebagai penguasa alam.

Sahabat. Sudah lama kupendamkan hasrat ini, dan aku yakin aku mewakili segolongan yang dicampakkan Maula Rabbi akan kepetingan mendalami ilmu agama secara serius (moga Allah kekalkan pada jalan ini), berbanding beberapa lagi kelompok di antara kami yang masih belum terbit kesedaran ilmu dan disibukkan dengan hal-hal persatuan yang meragut sebahagian besar masa mengaji mereka di sini, ada yang disibukkan dengan keghairahan berniaga, ada yang separuh harinya di hadapan skrin-skrin yang mempesonakan, dan ada yang hanyut dalam syurga mimpi dibaluti selimut gebu beserta katil yang empuk, (semoga Allah menghindari kita semua), aku menyeru kalian untuk menimbang-nimbang atau paling kurang, meletakkan pengajian agama sebagai pilihan pertama dalam senarai perancangan kalian.

Dan aku lebih berbesar hati jikalau kalian bersama-samaku menaiki bahtera untuk menempuh gelora lautan ilmu di Ummu Dunya Mesir Ardul Kinanah. Para dakatiir(doktor kuliah) di universiti kedua tertua dunia, Universiti Al Azhar, dan para masyaikh (guru-guru talaqqi) hafizohumullah wa raah, sangat memerlukan pelajar-pelajar yang berpemikiran cerdas, kreatif dan inovatif serta punya semangat disiplin yang tinggi untuk duduk berteleku menadah curahan ilmu daripada mereka.

*Akhir Kalam*

Sekadar ini warkah dariku yang serba hina ini kepada kalian khususnya, dan kepada masyarakat di Malaysia umumnya. Percayalah, sekarang sudah bermula revolusi pemikiran para penuntut ilmu di sini dan kebangkitan Azhariy sedang berjalan. Insya Allah, 10 tahun lagi kami akan pulang dengan visi baharu mencuci wajah buruk keluaran Azhar dan akan menyebarkan risalah agama dengan manhaj yang salim kepada masyarakat yang masih dahagakan ilmu agama di tanah air tercinta.

Akhir sekali, sebar-sebarkan warkah ini sehingga anjakan paradigma ini terserlah dan menjentik setiap minda sedar masyarakat akan peri pentingnya revivalisme yang dibawakan ini.

Dan kalian, Ya kalian, si graduan SPM!

Kami menunggu kalian di sini.
Ingat janji temu kita! Di Masjid Al Azhar Asy Syarif beberapa ketika dari sekarang!

Salam muhibbah dan kasih sayang,

Mahasiswa Fakulti Usuluddin,
Tholib Wa Khadim Al Azhar Asy Syarif,
Cairo,
Egpyt.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari