Takah Hayatku


Sudah lama gamaknya aku tak melirikkan bait-bait kalimat bagi mencernakan zihinku. 
Kesempatan ini, aku silunya nak berkongsi bagaimana aku memanjat gunung pengalaman, berenang di kolam kehidupan, berpindah randah dari satu takah ke takah yang lain. 
Jalan hidup ini penuh dengan pengalaman baca:(peng’Alam’an), yang mana sanubari kita belajar dan berinteraksi dengan Alam sekeliling. Tidak kisah dari genus manusia, hewan, malah dari barang jamad juwa. 

Aku tidak mungkin dapat mulakan rekod hayatku ini dari bangku kanak-kanak, sebab tika itu aqal belum cukup mengikat, qalbu belum cukup kuat memberontak, apa yang ku alami itu cuplikan benar dari orangtuaku, kerna kerap di rumah, dididik bawah awas mereka. Jadi itu sudah cukup aku katakan madrasah pertama dalam Alam aku, iaitu didik-ajar orang tua ku.

Seusai tamat alam rendah, aku menjengah ke alam tengah, di sini aku berenang di kolam Tabligh berakhir di muara Kesufian. 

Ya, ketika ini aku menimba ilmu di sebuah sekolah di kaki Gunung Jerai, diriku sepenuh raga menghirup segar udara malar hijau, jiwaku menyulam rahsia flora segenap sudut, mentalku berasimilisasi dengan fauna, lirik mataku mengikut arus sungai, hingga tika itu aku merasa begitu dekat dengan Tuhan dengan jalan sarwa alam ini. Saat ini juga aku bertemu insan-insan yang mengisi kosong pati jiwaku dengan kalam tarbiah, kalam menyentap rentap jiwa, menunduk punduk kepalaku ke tanah, aku merasakan takah inilah aku berasa bersihnya hati, dekatnya mati. Dikira amalan, segala zikir, hizib kuhafal dan amal, zikir itu meresap ke qalbu menyubur cinta. Namun, dalam keasyikan, cubaan hadir dalam pelbagai bentuk. Tatkala asyik itu, hadir insan lain yang menarik aku lebih dalam dalam lembah kesufian ini, hinggalah suatu hari keluar kalam dari mulutnya “Ilmu ini luas..kita boleh belajar dengan semua benda, termasuklah syaitan..” Aku tersentap. Minda sedarku ligat berpusing, aku bermonolog. “ Ini sudah jauh..” Aku merenggangkan tangannya menapak keluar dari lembah ini. Cukuplah bagiku bekal Sufiah, tiada keperluan hingga ke kancah Batiniah. 

Aku mengembara lagi, tapak-tapak kakiku makin melebar, makin jauh, aku berkelana ke negeri lain, menuntut ilmu di sebuah sekolah elit, di tengah bandar, gedung pelajar pintar, tempat berkumpul bakal pemimpin agung dari serata ceruk tanah air.  Di sini, kondisi lain sebenar-benarnya dari tempat lamaku,sekitar dihias bangunan tinggi, jalan berturap, orang yang cakap berlainan pelatku walaupun bahasa yang sama, kawan-kawan, guru, sistem, semuanya dah lain. Aku mengambil masa yang agak lama untuk adaptasi metal fizikalku di tanah waqaf ini. 

Di sini mula takah baru dalam hayatku Takah Kepimpinan dan Haraki. 

Pendedahan aku dengan aliran fikrah yang rencam bermula awal, sebelum orang lainnya akan alami di alam menara gading. Di sini, pertempuran berbagai aspek dari akademik, sistem sukan, hingga ke dunia fikrah jemaah Islam. Aku duduk, berkongsi dengan sahabat, senior, junior yang membawa idea masing-masing, dengan ini juga pemikiran aku makin meluas menjelajah. Makin galak aku mengkaji. Dalam rencah pemikiran orang intelek ini, aku dipilih untuk memimpin para pemimpin ini, tak terbayang benakku aku dapat memberi arahan, berdiri di khalayak mereka berpidato, pengaruh kepimpinanku menjajah keserata sudut. 
Tika ini juga, jangan disentuh jiwa amukan harakiku, membara membakar suaka. Tidak pelik amarah membuak melawan sistem, merekrut rebellion menentang ‘sang penguasa’ (baca: sekolah), tidak ketinggalan juga di kala suasana politik negara yang rancak bergoncang, aku tidak terlepas satu himpunan pun menuntut keadilan ke peringkat tertinggi dalam negara, bergadai duit semata ingin hadir sama mem’Bersih’kan kebobrokan politikus. 
Namun..setelah rentasku terlalu jauh dalam memanjat gunung keharakian ini, aku berasa suatu kekosongan, rasa ada yang tidak kena, rasa suatu yang tidak puas. Iaitu Ilmu. Setamatnya sesi pembelajaran di sekolah itu, aku leraikan sedikit demi sedikit dengan ikatan jemaah itu, dan mula berfikir, fikir yang panjang, merenung, koreksi diri, dan aku ingin menjelajah ke ruang angkasa baru, bagi memenuhi rongga kosong dalam diriku. 

Permusafiran diteruskan, kali ini lebih jauh, lebih mencabar, lebih memberi kesan. Aku terbang melihat kepulan awanan komulunimbus dibalik jendela, terbang merentas launtan, migrasi dari satu benua ke benua yang lain. Jejak pertama di tanah baharu ini, aku nekad sebulat tekad untuk explore perkara baru, aku tidak mahu aku dapat benda yang sama sepertimana aku di tanah lamaku, jika tidak tidak berbaloi musafir 10 jam tapi hanya berlingkar di takah yang sama. 
Jika takah sebelum ini aku berjumpa dengan orang yang pelbagai ragam, di sini keragaman, kerencaman, kepelbagainya berganda-berganda, dari manusia sebangsa, hingga bangsa lain, negara lain, bangsa asal tempat berkulit putih berambut kerinting pendek, bangsa pemarah namun hati bak taman saujana. Bertemu pulak manusia kulit hitam, lampai, majoriti mereka botak kepala, sifatnya lantang, aktif, namun tak nafi bau badan agak berperencah. Di sebelah pula kulit gelap manis-manis, berbahasa urdu, mereka ni cerdik, juga banyak juga cakapnya hingga kekadang sampai letih mendengar. 

Disebalik semua ini, aku bergerak perlahan-lahan mencicip lautan takah Ilmu dan Berminda Terbuka. 

Segala persoalan, dan jawapan yang aku tercari-cari sebelum ini banyak terjawab di sini. Dalam pencarian makna diri, juga persoalan yang bersarang dalam kotak mindaku, pemberontakan pemikiran, setelah melalui fasa kesufian dan keharakian, identitiku bercampur baur, tika itu aku berjumpa suatu batang tubuh yang mengubah 180 peratus cara fikir, cara pandang kepada alam, kepada manusia, juga paling penting diri sendiri. 
Dalam kesempatan di tanah barakah ini, aku mengambil seberapa maksimum meneguk ilmu dari pelbagai bidang dari para ilmuwan, guru, rakan, dan insan-insan pelakon dalam pentas hidupku. 

Hayatku masih berlari di sini, namun tiada punya masa yang lama sudah, namun banyak lagi yang perlu dipelajari, semoga terus tsabat dalam jalan ini, takah ini, dan moga-moga kelak akan ada lagi takah baru yang aku akan teroka. Semata-mata mencari makna diri.

21/1/20
Kedai Kopi Nabawi,
Darrosah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari