Kolam Kerjaya

 

Detik berganti detik, batang tubuhku terperosok dalam penjara zaman, tidak mampu bergerak ke masa lalu atau ke masa hadapan, ya, itulah dinamakan banduan masa. Kekadang mindaku menerawang ke saat indah berteleku di hadapan para guruku di Mesir, kekadang pula berterbangan memilkirkan apa yang bakal aku tempuhi dalam tempoh beberapa tahun di tanah airku ini.


Aku kini sudah 5 bulan sepulangnya ke jana bijanaku, tidak kurang aku katakan bahawa masaku agak padat dengan pelbagai aktiviti, seingat aku, aku hanya betul-betul rehat pada bulan pertama saja setelah menjejakkan kaki ke Malaysia, hatta sewaktu dua minggu kuarantin pun aku sudah bersibukan. Huh.


Untung sabut timbul, selepas dua bulan di rumah, aku tidak lama menanam jagung, Allah rezekikan aku mendapat kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah rendah agama di pekan Kulim. Di sini, baru aku rasakan realiti sebenar di alam pekerjaan, berada dalam organisasi, adanya rakan sepekerja, adanya majikan, rasa bagaimana dapat gaji dan banyak lagi pengalaman baharu dalam kehidupan ‘bekerja’. Walaupun profesion ini adalah sebagai pendidik ataupun guru, sisi yang lain ia sebuah pekerjaan yang menuntut kita memerah keringat dan otak untuk dapatkan wang. Itulah hakikatnya. 


Seawal pagi lagi jam 7 pagi, aku sudah pulas ganggang motosikal memecut ke sekolah, dengan menghadap 5 lampu isyarat, aku hanya perlukan 8-10 minit untuk sampai ke depan pagar sekolah. Setelah mengecap ibu jari, bermula lah sesi bekerja aku di sekolah. Segala renyah kerenah pelajar, suka duka kongsi antara guru, konflik dengan majikan, semuanya digaulsebatikan dalam satu mangkuk. Semua rencah cukup, ada gembira, ada marah, ada sedih, ada fed up, ada berang, ada ketawa terbahak, dan macam-macam aku rasakan seberadaan di sini. 


Dalam banyak-banyak rencah, paling manis bagiku adalah nilai setiakawan. Nilai kawan yang cukup bermakna. Kawan di sini sangat berbeza sepanjang hidupku sebagai pelajar dan siswa. Di sini aku mengenali pelbagai watak, dari berbagai latar belakang, beraneka sikap dan tingkah. Dalam tak sedar aku tekuni setiap karakter yang punyai nilai tersendiri, yang pastinya lain dari diriku. 


Maka, itulah serba ringkas tentang selamanku ke dalam kolam pasca-pengajian. Kolam yang penuh dengan ekosistem pelbagai, yang mengajar aku tentang bagaimana mahu hidup, hidup dengan nafas yang sekadar, agar aku sentiasa hargai setiap hela itu. 


24/4/21

Masjid Sg. Seluang,

Kulim. 

12 Ramadan.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari