Dedikasi Buat Guruku

 Dedikasi tidak terhingga buat para guru yang selama ini mendidik daku di sepanjang perjalanan sekolah kehidupan. 


Sekolah yang mengajari daku erti kebebasan, erti ketabahan dalam menelusuri ranah yang penuh berduri. Tiada dayaku menapak tanpa pimpinan sang guru.


Sang guru yang mengusap daki-daki kejahilan tanpa lelah, hingga yang tinggal hanya jasad suci tanpa cela.

Sang guru yang menyuap permata ilmu penuh hikmah, tiada marah-marah, malah ramah-tamah. 

Sang guru yang mengubat sukma, agar jiwa suci bak nirmala. 


“Tiada aku kenal tuhanku, jika tiada wujud guruku”. 


Jika tiada guru mengajari abjad, manakan seseorang itu mampu membaca buku berabad.


Jika tiada guru mengajari sifir, manakan lahir insan yang mahir. 


Jika tiada guru mengajari tentang alam, manakan ada yang mampu menelusuri laut dalam, malah angkasa raya yang kelam. 


Ya, kesemua itu membawa kepada mengenali Tuhan.  Setiap pada jiwa seorang guru berkehendak ia untuk muridnya mengenal diri, memupuk jati diri, dengan kenal diri maka bakal kenal tuhannya. 


Dan tika itu, berapa banyak ganjaran berkat sentuhan sang guru, anak didik terus menerus kenal tuhan hingga nyawa terpisah dari jasad. 


Begitulah nilai dan martabat seorang guru. 


Tak mampu daku mengukap rangkap kata, mengarang lembaran warkah, walau selautan menjadi dakwat penanya, masih tiada tolok bandingnya dengan jasamu wahai guru. 


Hanya Tuhan sahaja berkuasa membalas segala jasamu di dunia dan akhirat. 

Daku hanya mampu menadah tangan memanjatkan doa untuk kesejahteraanmu senantiasa. 


Muridmu yang setia, 

16/5/21

Kulim, 

Kedah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari