Madu-maduKu



Sebelum aku perpanjangkan kalam, nak buat clarify sikit tentang clickbait pada judul entry kali ini, kerana madu ini walaupun secara literalnya sebagai satu nama makanan yang dihasilkerjakan oleh binatang yang bernama lebah, namun kondisi sosio masyarakat menyebabkan perkataan ini terpaksa mengendong konotasi negatif yang sangat ditakuti oleh para wanita. Kah!


Ok, sebenarnya yang aku maksudkan adalah ~madu’- madu’ku~ dari perkataan arab مدعو yang bermaksud orang yang didakwah, iaitu hal ehwal audien dakwah aku. 


Baik, kenapa aku nak cakap tentang madu’ ini? Sebab aku rasakan ini antara salah satu cabaran mental dan fizikal yang aku perlu papah kini, dan ia memerlukan kudrat serta kemahiran men’tune’ kepala otak  aku khususnya bagi menghadapi madu’-‘madu’ ini. Ia bukan satu kerja yang mudah semudah membuat ABC. Huh.


Untuk mudahkan kefahaman, aku simpulkan sekarang di hadapan aku ada 3 lapisan audien:


  1. Kanak-kanak
  2. Orang tua
  3. Mahasiswa


Yang pertama, audien kanak-kanak, ini menjadi cabaran pertama yang aku hadapi seawal aku mengajar di sekolah rendah. Sudah lah sekolah rendah, kena pula mengajar tahap 1 (tahun 1,2,3). Cabaran sebab apa? Bukan kah mengajar budak-budak ni lagi senang? 

Tak, ia tak mudah bagi aku, sebab aku sudah lama bergelumang dengan perbahasan intelektual tahap tinggi, hadiri seminar, kolokium, program ilmiah, bedah buku dan lain-lain lagi. Tambahan pula, bidang yang aku ceburi berkaitan pemikiran dan ideologi. Aku pula bergaul dengan mahasiswa, para pensharah, dan para ilmuwan yang sudah pasti gaya bicara, pola fikirnya juga beraras tinggi. Nah..di sinilah cabaran aku untuk rendahkan kefahaman aku dan gaya penyampaian aku kepada serendah-rendah gaya fikir iaitu kanak-kanak berumur 7-9 tahun. Sejujurnya ia agak memeritkan otak. Namun, inilah cabaran yang aku sahut. Bukan sekadar pemikiran, aku juga perlu mengambil kita aspek kerenah, tingkah laku, sikap budak-budak. 


Ok, kita bergerak pula stage kedua iaitu lapisan orang tua atau orang dewasa. Audien kali ini pula adalah dalam kalangan ahli kariah tempat tinggal aku berada sekarang.

Aku boleh katakan pola pemikiran pakcik makcik taman perumahan aku ni separa bandar-separa kampung lah. Kebanyakan dalam julat umur lewat 40an hingga pertengahan 50an, sebaya umur mak dan abah aku. Sebagai recap yang ringkas, ahli kariah aku ini sebelum aku balik, mereka sudah dihidangkan dengan ceramah dari Ustad Wan Hizam yang membawa fahaman maklipat hakikat level tinggi dengan mengajarkan kitab Hikam Ibn Atailah. Bayangkan betapa kecelaruan dibawa oleh Wan Hizam ni, sehingga ada jugak dua tiga orang pakcik kat sini yang taksub dengan dia. Setelah mendapat berita Wan Hizam disita dari memberi kuliah, aku diminta untuk menyambung bacaan kitab Hikam. Di sinilah cabaran bermula untuk mengolah persembahan ceramah untuk mesra pendengar dari kalangan pakcik makcik ini. Misi aku untuk menghakis ketaksuban dan kekeliruan orang di sini bertapak sedikit demi sedikit. Aku adakah kuliah setiap malam Ahad setiap minggu tanpa mengambil bayaran, kudratku aku betul-betul limpahkan untuk ahli karyah ini. Mungkin nanti aku akan buat entry lain untuk ceritakan perjalanan kuliah aku di sini dengan lebih perinci.


Seterusnya, audien yang terakhir adalah dalam kalangan mahasiswa universiti. Untuk mahasiswa pula, cara penyampaiannya sangat berbeza dengan golongan pakcik makcik. Di surau aku perlu untuk permudahkan perbahasan yang tinggi dengan bahasa yang santai dan dapat menarik perhatian jemaah surau, tak semua mereka datang untuk mendapat ilmu, hanya sekadar isi masa antara maghrib-isyak. Namun bagi mahasiswa, mereka perlu pendekatan yang komprehensif, mendalam dan berinformatif. Itu corak pemikiran mahasiswa yang masih fresh. Oleh kerana itu, persedian aku juga perlu digandakan, aku study dua tiga jam untuk sampaikan kelas dalam masa lebih kurang satu jam. Bagi mahasiswa, aku adakan Daurah Asas Aqidah membacakan kitab Inilah Kitab Usuluddin karangan Shaykh Ibn Atorid al-Jawi. Setiap kali kelas pula, aku buat nota sendiri, cari pelbagai rujukan untuk satu sesi kelas. Inilah rutin aku untuk bersama mad’u dari kalangan mahasiswa.


Kalian bayangkan bagaimana aku perlu mengubah siaran otak aku yang pulang dari sekolah, mengajar budak-budak, waktu malam perlu sampaikan kuliah kepada golongan veteren, di malam lain untuk mengajar mahasiswa. 


Begitulah perihal madu-maduku yang aku nak sampaikan. Ia hanya sekadar sebuah catatan untuk aku jadikan pedoman melangkah lebih maju di masa hadapan. 




4 September 2021

Kulim, 

Kedah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari