Ramadhan Kali Ini #1



#1 Tuan Rumah Mesir

Sungguh bagi seumur hayat hidupku bertemu ramadhan,ini adalah ramadhan paling berharga bagiku kerana kali pertama aku merayakan Ramadhan Al Mubarak di lipatan alam yang jauh dari arena tanah tumpah darah lahirku.

Ya, di Mesir. Bumi Kinanah.

Pengalaman berpuasa di bumi anbiya' ini sangat memberi seribu satu rencah rempah yang bergaul dalam diriku dalam menikmati hidangan ramadhan.

Pertama sekali, di Mesir,kami berpuasa lebih lama waktunya daripada kebiasaan kami berpuasa di tanah air sebelumnya, kerana pada waktu ini iaitu bulan Ramadhan,jatuh pada dipermulaan musim panas, maka siang akan panjang daripada malam. Kami berpuasa lebih kurang 16 jam dari terbit fajar sodiq hingga terbenam matahari menyenggah malam Ramadhan. Tak kurang juga terpaksa berhempas pulas menahan perit panas sang mentari serta haba panas yang kadang mencapai suhu 42 darjah celcius.

Ya,inilah Ramadhan sebenar. Yang mana namanya juga ditimbang atas wazan 'Rammada' iaitu kepanasan. Sungguh tiada erti Ramadhan jika tiada merasai susahnya puasa itu dimana terselit rapi padanya hikmah puasa yang cukup besar bagi orang yang beriman.

Di suatu pengajian kami bersama Syeikh Ahmad Maghdi dalam membahas Kitab Ithaful Anam fi Ahkam As Siam karangan Ad Duktur Zain Al Idrus, dalam satu bab tentang hukum meraikan perbezaan waktu di berlainan negara, terdapat satu negara bernama Suez di utara Eropah yang tempoh puasanya hanya 4 jam,kerana waktu siangnya pendek. Sang guru membuat persoalan, jika seseorang merasakan puasa hanya konsep menahan lapar dan haus, maka sudah tentu ia akan bermusafir ke negara itu sebulan untuk semata menunaikan ibadat puasa kerana hanya berpuasa 4 jam.
Puasanya sah? Ya, sah.
Tapi malangnya hikmah bersusah-susah melaksanakan perintah Allah iaitu puasa itulah yang dia terlepas. Dan peluang sebulan itulah dia tidak menerima sebarang pengajaran dari ibadah bernama Puasa.

Keduanya, suasana Ramadhan di Mesir sangat meriah. Terdapat satu jenis Qindil (lampu) yang di Malaysia berupa seperti Tanglung yang menghiasi rumah-rumah,masjid,tepi jalan, perhentian bas dan kebanyakan tempat di Mesir. Qindil itu akan kelihatan pada bulan Ramadhan sahaja dan mewarnai malam-malam ramadhan di sini.

Di sebabkan malam yang singkat. Suasana malam di Mesir menjadi meriah dan lebih sibuk dibandingkan di waktu siangnya. Rakyat Mesir akan beraktiviti dari selesai ifthor hingga lah ke sahur, selepas sahur menyenggah Subuh, suasana mula senyap dan jalan raya kembali sunyi dari bunyian hon kenderaan rakyat mesir.
Aktiviti terserah pada induvidu, ibadatkah dia, baca quran, solat sunnat dan iktikaf di masjid untuk meraih pahala gandaan di bulan berkat ramadhan, ada juga sebahagian melepak, minum syai, tengok bola (musim euro), ada yang sibuk membeli belah di suq, ada yang terus menjamah makanan yang tak cukup sewaktu berbuka dan berbagai aktiviti yang ratanya pada waktu ketika kebiasaan orang Malaysia sedang melayari bahtera mimpi indah. Kami yang kurang biasa tidak tidur malam mula melatih tatih beraktiviti sehingga sahur kerana jika semua terlelap, alamatnya terlepas lah waktu sahur. Jadi jika ada yang sudah tidak tahan mengantuknya, akan ada yang berjaga dan yang berjaga itu akan selang seli hari untuk masak sediakan juadah untuk sahur jam 2.45 pagi kerana Subuh akan masuk jam 3.10 pagi.

Selepas sahur, terus bersiap dan terus ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah,dalam syukur,selama sebulan tiada yang tertinggal solat di masjid dan selepas subuh,kami bertadarus setiap hari satu juzuk yang mana aku mendapat suatu keberkatan dalam tadarus ini yang akan aku ulas pada bahagian yang lain tentang alquran.

Dan selepas tadarus, maka bertebaranlah kami di atas tilam empuk untuk merehatkan badan dan minda setelah semalaman berjaga. Ketiduran kami berlanjutanlah sehingga masuk waktu zuhur pada jam 11.50 am.

Itulah sebahagian rutin aku bersama kawan-kawan Ramadhan di mesir yang kemeriahannya dirasa berbeza dengan tanah air Malaysia.


Ketiganya, Ifthor yang pelbagai juadah dan ragam.
Sepanjang berbuka sebulan di sini terdapat beberapa tempat tetap aku dan teman-teman lain menghalakan perut yang lapar untuk menjamah juadah berbuka. Pertama di belakang Masjid Azhar berdekatan Maktabah Taufiqiah. Perkara a'jib berbuka di sana adalah melihat kesungguhan tuan rumah melayan para tetamu yang hadir. Bermula dari seorang pemuda(mungkin anak tuan rumah) akan berada di simpan masuk bermula sejam sebelum berbuka,dia akan mempelawa sesiapa sahaja yang lalu di situ tidak kira orang mesir atau orang asing, dan setiap yang dipelawa akan disebut sekali nama negara masing-masing menunjukkam dia sudah kenal benar dengan bentuk wajah pelajar-pelajar asing ini.
Kemudian, hadirin akan duduk di meja dan bangku panjang, disediakan secawan air Subya (air vanilla) dan air kosong, kemudian ada beberapa orang pula akan hantar Aruz(nasi) dalam mangkuk dan Khudor(lauk) yang selalu berisi seketul daging dan kuah tomato, cuma kuah ja akan tukar-tukar setiap hari.
Yang amat mencuri perhatian aku adalah bertapa bersungguhnya mereka melayan tetamu, sedang azan berkumandang pun mereka masih belum berhenti berlari ke hulu ke hilir memenuhi kehendak tetamu, ada yang belum dapat maidah(hidangan), ada yang dah habis, nak tambah nasi, ada yang tambah air, maka mereka turuti tanpa sebarang keluh pun. Hanya berbuka alaskan kurma sambil berdiri, setelah tetamu beransur pulang, kutip pula cawan dan pinggan,bersihkan meja, setelah selesai, maka barulah mereka duduk berehat dan mula menjamah makan berat berbuka. Begitulah mereka, berkhidmat pada sekalian Soimin yang tidak apa yang mereka harapkan selain redha tuhan tanpa upah dan bayaran atas penat mereka. Dan kerana mereka lah kami tak perlu pusing untuk masak atau cari kedai untuk berbuka.

Semoga Allah merahmati mereka!!

Selain disitu، kami turut merasa Maidah Rahmah (nama jamuan berbuka puasa amal di Mesir) ialah antaranya di Masjid Dardir, Masjid Hussein, Masjid Soleh Jaafari dan beberapa tempat sekitar Hussein-Darrosah.

Semoga Allah murahkan rezeki para tuan rumah yang bertungkus lumus menyediakan kami makan untuk berbuka sepanjang Ramadhan Barakah ini.
Allahumma Amin..

Setakat ini catatan ringkas ku sepanjang perjalanan aku Ramadhan dan berpuasa di suatu tempat mulia Mesir Ardhul Kinanah.

Insyallah aku akan sambung tulis cacatan Ramadhan Kali Ini pada siri #2 dan #3 lepas ini.

Selamat membaca.

Salam eidmubarak.
Selamat tinggal Ramadhan penuh berkat,
Selamat berkunjung Syawal penuh rahmat.

5/7/16,
Bait Ruwaq Filfilani,
Darrosah,
Cairo.
#hari2terakhirRamadhan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari