Arabisasi: Suatu Penilaian



Judul ini sering menjadi topik hangat dan menjadi satu ‘bola tanggung’ kepada golongan liberalist dalam menghentam para asatizah khususnya lepasan Timur Tengah apabila mula menyebarkan dakwah islamiyyah di persada jana bijana(tanah air) Malaysia tercinta. Para liberalist ini selalu menunding jari bahawa para ustaz ini membawa budaya arab dari segi pemakaian, perbualan, tulisan, malah ada juga yang membawa balik sifat-sifat buruk bangsa Arab ke Malaysia. Mereka ini dengan berbekalkan imej ‘Kita Malaysian, kenapa perlu bawa budaya luar…?!” Mereka terlalu alergik dengan jubah, janggut, perkataan arab malah kalua muka persis arab pun mereka apolegik. Geli geleman orang kedah kata. Bagi mereka bangsa arab adalah bangsa yang mundur, bengis, pengotor dan macam-macam lagi lah imej keji yang mereka jaja-jajakan.

Jadi, macam kita perlu reaksi kepada isu ini?

Ini adalah pandangan peribadi aku, kalian berhak menerima, bebas menolak, malah aku sangat sarankan untuk kalian labuhkan punggung kalian di garisan pertengahan, berfikir, nilaikan dan sebarkan jika ini idea yang baik.

 Pertama, sebagai seorang student yang boleh lah dicop/ditaklifkan atas pundak aku sebagai seorang agamawan dan mewakili lulusan timur tengah, dan tinggal di negara Arab, aku juga terkesan akan serangan-serangan para liberalist ini akan sangkalan para asatizah membawa budaya arab itu suatu yang nonsense dan keji.

Jika mahu adil dalam argumen, para liberalist ini yang kebanyakkan lepasan Eropah atau boleh kita katakan Western, mereka juga tak terlepas membawa so we called ‘budaya luar’ juga ke negara tercinta Malaysia, ataupun jika ada budaya-budaya barat yang kekadang mencalarkan adat istiadat bangsa melayu, mereka tidak merasakan itu suatu yang nonsense, mereka tak merasakan itu suatu kesalahan, malah lagi mengagungkan budaya-budaya itu. Bagi mereka apa sahaja yang dating dari barat, semuanya membawa kemajuan, membawa negara lebih terbuka dan berdaya saing dalam masa yang sama, dalam sanubari batin mereka, langsung tiada rasa bangga dengan budaya sendiri walau secubit, malah memandang sebelah bulu mata akan negara sendiri. Inilah yang Prof Syed Naquib al-Atas menyebutkan akan ‘Minda Tertawan’ yang diterapkan penjajah dahulu dalam benak masyarakat Malaysia agar sentiasa berasa kagum dengan Barat, dan terikut-ikut apa jua bawaan barat kerana barat itu simbol kemajuan dan ketamadunan, mereka tertawan lalu mereka ikut.

Kalau ditanya akan berapa banyak akan budaya buruk barat yang masukkan ke negara kita, sudah habis jari tangan dan kaki dikira, secara zahir atau seludup melalui ideologi dan pemikiran, sehingga kekadang menganggu ketenteraman budaya tuan rumah malah mencabar-cabarnya lagi, hinggalah si tuan rumah menunduk sedih terpaksa membuka pintu kemasukan para perogol luar mencabul kehormatan anak dara sendiri. Sungguh sadis. Tapi mereka, golongan liberalist ini malah tergelak terbahak malah bangga lagi, lalu mempertahankan lagi para perogol ini, kata mereka, anak yang lahir nanti akan jadi anak yang bijaksana dan cerdik, bukan macam ibunya yang bodoh dan keji. Sahabat, inilah analoginya, jika kalian taamul sebaiknya.

Jadi, para liberalist dan konco-konco pembawa panji budaya barat, simpuhlah kalian di hadapan nenek-nenek yang mengunyah sireh di pangkin rumah melaka, belajar cara pakai kain batik, yang lelaki mengadap datuk-datuk tua di batas sawah, belajar tulis jawi sekurangya, atau belajar pasang kekuda silat, tekuni warisan sendiri sebelum kalian bangga dengan budaya orang lain.

Baik, kita masuk point kedua, ini untuk muhasabah kita para lulusan negara arab dan juga para asatizah yang sudah ada di negara tercinta Malaysia. Secara adilnya juga, jika kita tak setuju dengan pembawaan budaya asing tak kisah baik atau buruk dari barat dan kita pun kekadang sensetif akan isu pembaratan atau westernisasi oleh pengiat fahaman liberal ini, kita juga harus tanbih akan apa yang kita fikir dan kita bawakan kepada rakyat negara tercinta Malaysia. 
Pada pandangan hamba yang hina ini, adalah tidak adil juga jika kita membawa atau terbawa-bawa segala macam budaya, bahasa, pemakaian arab ke negara kita, kerna itu juga termasuk membawa budaya luar walaupun ada antaranya yang baik. Kekadang kita juga sering berfikir, bercakap arab itu lebih ‘Islamic’ berbanding jika kita bercakap Bahasa melayu, sama saja lah jika kita kondem orang melayu balik eropah loghat nak speaking Inggeris, kerana bahasa inggeris itu melambangkan kecerdikan, maka terperosoklah Bahasa melayu sebagai bahasa yang hina dina di tengah-tengah Bahasa arab dan inggeris. Sadiskan. 
Begitu juga dari sudut pakaian kita, kita para asatizah lebih selesa memakai jubah, serban dan sebagainya(disclairmer: saya tak bincang di sini dari sudut syarie, sunnah nabi) dari memakai pakaian tradisi warisan bangsa sendiri, kerana pakaian yang keAraban itu lebih nampak gah dari pakaian keMelayuan.

Jika kita lihat dari satu sudut, ya, memang benar para asatizah kita memang sudah dan melakukan Arabisasi yang jika ditimbang secara adil, ia turut mengancam budaya dan warisan negara bangsa kita sendiri. Tapi kita tak berasakan itu salah kerana kita berada di side Arabisasi, kita juga akan mempertahankan agenda kita sepertimana golongan liberalist tadi, tambahan pula Arab dan Islam seperti beradik kembar yang susah dipisahkan imejnya, dan agama kita juga berasal dari tanah Arab melalui junjungan mulia Sidna Nabiy Sollahu alaihi wasalam. Juga dari pandangan para liberalist lulusan Barat, mereka juga menganggap kita melakukan penjenayan budaya seperti kita melihat mereka dari perspektif yang lain.
Kenapa perkara ini berlaku?

Puncanya satu saja, kita tiada jati diri sebagai seorang Melayu malah tidak ada kebanggaan sebagai seorang Melayu. kita lebih lihat dan bangga akan warisan, budaya, Bahasa, pakaian, muzik orang lain malah memijak-mijak bangsa sendiri. Aku dulu pun berada dalam situasi demikian, tapi pembacaan aku kepada buku-buku Syed Naquib al-Atas terutama buku [ Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu] banyak membuka minda aku, Al-Atas Berjaya menjentik kalbu aku akan merasa kecintaan kepada bangsa melayu, Bahasa dan budayanya, juga merasa bangga akan bangsa ibunda sendiri. Aku tak lah dapat menceritakan kesemua point dalam buku itu, tapi kalian boleh usaha untuk cari, jika dapat, baca dengan penuh insof dan kalian akan berasa ‘Hebat juga Melayu ini’ lantas akan luntur sedikit demi sedikit keAraban atau Kebaratan kalian.

Jika kita menelusuri sejarah para Wali Songgo, kita dapat lihat bagaimana para wali ini mereka adaptasi semaksimum mungkin dengan budaya asal masyarakat dakwah mereka, mereka masuk dalam Bahasa, muzik, pemakaian, komunikasi, adat resam, dan macam-macam lagi, hingga tak nampak langsung apa-apa wajah luar yang mereka bawakan. Jadi masyarakat di tempat ini tidak akan terjadi pertembungan budaya secara dahsyat, menerima dakwah dengan senang hati, juga kesannya sangat mendasar ke pelosok jiwa masyarakat. Budaya dapat dijaga, malah dapat ilmu yang tiada dalam budaya bangsa mereka.

Setakat ini, aku juga masih belum punya apa-apa resolusi yang universal dalam menyelesaikan isu ini, aku juga tak boleh lah berkempen untuk para asatizah kita membuang semua imej ustaz yang ada sekarang, minta buang serban, gantikan dengan songkok, buang jubah ganti dengan baju melayu bersampin. Itu sangat sukar, tapi kita boleh saja lihat beberapa tokoh ilmuan yang sudah sedia membawa idea ini. Antaranya ialah Al-Fadhil Ustaz Dr. Afifi Al-Akiti, lihat bagaimana pakaian beliau, bagaimana imej, percakapan beliau, sungguh menampakkan beliau melayu sejati tanpa menanggalkan jiwa Islamisasi dalam diri beliau. Kalian boleh terus mengkaji akan hal ini.

Sebenarnya banyak lagi ingin aku sampaikan, cuma rasa dah terlalu panjang aku menulis kali ini, mungkin di ruangan yang lain akan aku sambung, dan aku juga nak terus kaji dan membaca akan persoalan besar ini. Aku akhiri penulisan kali ini dengan petikan syair Syed Naquib al-Atas dalam buku belia Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu:

Sifat sejarah, menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang;
Cheritera lampau dihurai dalang;
Pabila tammat segera diulang.

Sahabat, teruslah membaca sejarah bangsa kita, tekuni nilai-nilainya, pupukkan rasa bangga akan warisan sendiri, nescaya dengan itu kita akan lihat kebangkitan Islam ditapak kita sendiri.

Al-faqir Pencinta Melayu,
Hakim Ismail,
19/3/18
Darrosah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari