Intelektual Dalam Turats Islami

Seringkali kita digembar-gemburkan akan kehebatan para ilmuan dari barat yang terkedepan dalam bidang sains dan teknologi, tak sikit dari mereka yang mendapat anugerah-anugerah akademik kerana jasa penemuan mereka dalam lapangan ilmu fizik, quantum fizik, teori kosmologi dan macam-macam lagi lah. Juga banyak penulisan samaada artikel ilmiah, judul buku, jurnal yang secara serius mengkaji, memperdebatkan, menganalisis, berlaku proses thesis, anti thesis, sintesis dan sebagainya sehinggalah fenomena ini mengangkat darjat ilmu sains moden sebagai penanda aras kebijaksanaan dan kesarjanaan seseorang ilmuan.

Sayangnya, kita sebagai umat Islam terlalu dibuai dan dilamun akan kehebatan Barat, sehingga melupakan akan kehebatan tamadun kita sendiri. Di sini, aku tak berhasrat nak kedepankan bukti sejarah akan kegemilangan tamadun ilmuan Islam pada bermula abad ke-5 hingga kurun ke-15, hampir 10 dekad umat Islam mengungguli carta kelimuan dunia, di kala mana umat eropah masih dalam kegelapan Dark age. Nama-nama seperti Ibnu Sina, Ar-Razi, Ibnu Haitam, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, dan lain-lain lagi kita sudah sedia maklum akan kehebatan mereka dalam lapangan ilmu sains dan teknologi, tak perlu aku ulas panjang lebar di ruangan ini.

Cuma, apa yang aku nak bawakan adalah bagaimana kesarjanaan dan nilai intelek itu sendiri sudah sedia mengakar dalam tradisi keilmuan turast islami. Apa yang dimaksudkan denga turats islami adalah dalam lapangan ilmu Fiqh, Ilmu Kalam, Ilmu Tasawuf Falsafi dan macam-macam lagi. Aku berminat untuk membawa kalian untuk menyaksikan bagaimana para ulama Syafieyah (mazhab syafie) membuktikan bahawa mereka adalah intelektual sejati yang menghidupkan budaya ilmu dengan penulisan, kajian yang teratur dan sistematik hinggalah sampai kitab serta fahaman mazhab syafie kepada tangan kita hari ini.

Baik, kita mulakan dengan karya awal Imam Syafie dalam membahaskan ilmu Fiqh, Imam Syafie menulis empat kitab utama dan besar dalam mazhab Syafie, pertama [Al-Umm], kedua [Al-Imla'], ketiga [Mukhtasar Muzani], dan keempat [Al-Buwaiti]. 

Kemudian, Imam Juwaini menganalisis keempat-empat kitab Imam Syafie ini lagu meringkaskan dalam kitab beliau [Nihayatul Matlab] lebih kurang 14 jilid.
Seterusnya, Imam Al-Ghazali, murid kepada Imam Juwaini meringkaskan kitab Nihayah kepada kitab [Al-Basit], melihat bahawa al-Basit masih terlalu besar, Imam Ghazali meringkaskan lagi kepada [Al-Wasit], masih terlalu dalam perbahasannya, beliau ringkaskan lagi kepada [Al-Wajiz] dan yang terakhir kitab keluaran Imam Al-Ghazali adalah [Al-Khulasoh] yang hanya tinggal sejilid.

Pengembaraan khidmat kitab mazhab bersambung dengan khidmat para ulama syafieyah pada kitab Imam al-Ghazali [Al-Wajiz]. Kitab Al-Wajiz diringkaskan oleh Imam Rafi'e menjadi kitab [Al-Muharrar]. Kemudian, datang pula Imam Nawawi meringkaskan kitab Al-Muharrar kepada kitab [Minhaj at-Tolibin], kitab Minhaj Tolibin diringkaskan lagi oleh Imam Jawhari kepada kitab [Minhaj Tullab], dan akhir sekali diringkaskan lagi menjadi kitab bernama [An-Nahj]. 

Kita patah balik kepada kitab Al-Wajiz Imam Ghazali tadi, orang yang sama Imam Rafi'e mensyarahkan kitab Al-Wajiz menjadi kitab [Fathul Aziz]. Kitab Fathul Aziz ini pula diringkaskan oleh Imam Nawawi melalui kitabnya [Raudhah at-Tolobin], kemudian Imam Ibnu Muqarri’ meringkaskan lagi menjadi kitab [Raud] dan akhir sekali disyarahkan oleh Syaikhul Islam Zakariyya al-Ansori melalui kitabnya [Asna al-Matholib].

Begitulah selanjutnya jika kita telusuri khidmat para ulama Syafieyah terhadap kitab-kitab turats ilmu islam, pekerjaan meringkaskan ini bukan suatu kerja yang mudah, perlu kefahaman yang tinggi dengan karya asal, kebolehan mengenalpasti konsep lalu menterjemahkan dalam bentuk yang mudah faham kepada pembaca. Ini memerlukan suatu juhud yang amat tinggi dan kebijaksanaan yang hebat.

Begitulah kita nampak sendiri bagaimana nilai intektual yang mengalir laju dalam sendi turats Islam kita, sebenarnya panjang lagi aku nak cerita macam mana para alim ulamak intektulis kita bersepakat dalam pendapat, jika ada percanggahan bagaimana nak selesaikan, jika ada pendapat dua-dua kuat, pendapat mana yang lebih muktamad untuk dirujuk, dan pelbagai lagi pengistilahan dan terminolgi baru yang dicipta untuk membezakan pendapat yang berbeza, yang sama-sama kuat dan perbezaaan pendapat jika perbandingan kuat dan lemah, dan pelbagai lagi.

Ada juga yang mengatakan ilmu Islam ini mengamalkan sifat komformis(taqlid buta) dengan adanya mazhab-mazhab dalam ilmu fiqh. Maka dengan itu, sekali lagi sejarah keilmuan Islam membuktikan bahawa sangkalan ini tidak benar. Kita dapat lihat bagaimana tiga generasi berturutan guru-murid menghasilkan tiga mazhab berlainan. Imam Syafie merupakan anak murid kepada Imam Malik mencapai tahap intelek tertinggi dalam dunia fiqh iaitu sebagai Mujtahid Mutlak sehingga beliau haram bertaqlid dan mengambil pendapat gurunya, bahkan wajib berusaha atas kapasiti ilmunya untuk membina  kefahaman dan pendapat sendiri. Tidak sikit pencanggahan pendapat antara murid dan guru ini, dan ini melambangkan bagaimana Islam mengajar kebebasan dalam berpandangan dengan syarat ada kelayakan dan syarat yang mencukupi. Begitu juga lah berlaku kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang berguru dengan Imam Syafie dan seterusnya beliau pula membuka mazhab aliran fiqh yang baharu tanpa konformis kepada gurunya.

Banyak lagi bukti-fakta tentang bagaimana hidupnya budaya intektual dalam alam turats islami. Insyallah aku akan coretkan di ruangan yang lain.

Akhir kalam, aku memohon untuk kita sama-sama buka mata dan celikkan hati juga menghargai warisan dunia keilmuan kita agar jati diri kita sentiasa kukuh di persada alam raya.

TilikAqal,
AkuBermazhab,
14/3/18
Bait Azhari,
Darrosah.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari