Ramadan Kali Ini #2

Masjid Sidna Hussein, Masjid Al Azhar: Bagai Dua Peradaban

Sepanjang pengembaraan bulan Ramadan selama tiga tahun di bumi Mesir, hanya dua masjid ini sahaja yang kerap ku jejak untuk bersolat taraweh.
Pada tahun pertama dan kedua, aku banyak luangkan masa lagi di Masjid Hussein, cuma pada tahun ini saja kebanyakan malam aku solat di Masjid Azhar.
Di sini setelah tiga tahun ini, aku semacam boleh menimbang kira dalam mencerakinkan peranan duo-masjid ini kepada masyarakat Kaherah khususnya, umumnya rakyat Mesir dan orang-orang luar seperti aku ini.
Masjid Hussein dan Masjid Azhar ini dari segi kedudukannya adalah bertentang sahaja, hanya  sebatang jalanraya yang memisahkan keduanya, dan juga Nafaq Azhar(Terowong Azhar) yang berperanan menjadi jambatan antara dua tamadun ini. Mudah cerita, jarak antara kedua-dua masjid ini sangat dekat hingga kalau imam baca surah pun dengar antara satu sama lain.

Jika kita selami, duo masjid ini punya daerah peranan mereka tersendiri dalam menjadi pilihan hati rakyat mesir dalam menunaikan ibadah, juga bagi mengisi masa mereka sepanjang bulan Ramadan.

Masjid Hussein, boleh aku katakan sebagai masjid mesra-rakyat, masjid yang mengumpulkan rakyat mesir tak kira pangkat, warna kulit, juga bangsa, masjid yang didomimasi aliran tasawuf  mungkin terkesan dengan keberadaan Maqam Sidna Hussein. Tempat tumpuan para auliya Allah, para pencinta Ahlul Bayt, yang menjadi pembuka rahsia-rahsia yang mempasakkan keamanan dan ketenteraman negara Mesir tercinta ini. Jika solat taraweh di Masjid Hussein, setiap selang antara solat, pasti ada yang berteriak berselawat kepada Sidan Nabiy, dan kepada ahli bayt nabi. Suasana taraweh di Masjid Hussein sentiasa ceria dan meriah dengan gelagat para ‘orang kampung’ yang datang dari penjuru Mesir bersama-sama memeriahkan bulan Mubarak ini. Di bahagian belakang pula, ada pakcik-pakcik yang volunteer serve air mawar untuk para jemaah secara percuma.  Dalam pada itu, Masjid Hussein bukanlah masjid yang bersistem, tiada peraturan masa  keluar masuk, tiada peraturan tetap untuk para pengunjung, cuma agak strict dalam pembahagian tempat lelaki dan perempuan, yang lainnya agak terbuka, jadi yang ke Masjid Hussein adalah dari kalangan dari rakyat bawahan yang datang ke masjid semata untuk beribadah, ingin merasa kelazatan bersuhbah dengan Sidna Hussein dan tempat berkumpul sesama jemaah untuk beribadat kepada Allah Jalla Wa Ala. Jika majlis ilmu, para masyaikh Azhar hanya menyentuh bab adab, fadilat berselawat, tentang hormat tetangga dan berbagai lagi tajuk yang mudah dihadam masyarakat awam untuk kehidupan harian mereka. Begitulah perihal ringkas tentang Masjid Hussein.

Kita merentas pula Terowong Azhar untuk menuju ke suatu peradaban dan sistem feudal yang lain pula, yang agak berlainan dengan Masjid Hussein.

Masjid Azhar, jika melangkah masuk ke gerbang pintu hadapan masjid, sudah siap dipantau oleh jaga bertugas. Pengunjung wanita yang tidak menepati kod etika pemakain akan diberi set kain atau tudung oleh pengawal bertugas, begitu Masjid Azhar menjaga adab dan etika untuk menjejak ke rumah ibadat. Terus menderap kaki ke ruang sahah masjid, suasana sangat-sangat mendamaikan, dengan lantai yang dingin, hembusan bayu bandar yang menerpa, tiada suara-suara tinggi, hanya kedengaran alunan ayat suci Al-quran dari Imam solat taraweh. Satu baris saff di bahagian sahah, aku lebih gemar solat di luar kerana terasa sangat tenang dan damai juga agak berangin. Jadi lebih selesa. Boleh nampak para jemaah yang datang ke Masjid Azhar ramai dari kalangan student Universiti Azhar, para wafidin, kelompok study grup mengisi tiang-tiang masjid, juga keluarga dan kanak-kanak mengisi jumlah kehadiran setiap malam Ramadan di sini. Jadi sudah tentu suasanaya berbeza.
Bacaan setiap rakaat pula akan dibaca satu muka surat untuk satu rakaat berbeza di Masjid Hussein yang dibaca beberapa ayat sahaja, juga pengisian tazkirah dari masyaikh azhar banyak menyentuh topik yang membangkitkan intelektual para jemaah. Air juga ada disediakan dengan lebih sistematik, diletakkan balang-balang air disetiap penjuru masjid untuk memudahkan para pengunjung meminum air ketika dahaga. Jadi secara simpulnya, tamadun yang dibawa Masjid Azhar adalah lebih kepada edukasi masyarakat Mesir dari sudut etika, intelek, dan peradaban dalam mengisi jiwa dan minda mereka sepanjang bulan Ramadan yang berkat ini.

Setakat itulah tinjauan aku sepanjang 3 tahun Ramadan di Bumi Mesir, semoga bermanfaat kepada kalian dalam kita sama-sama mendalami sosio-budaya masyarakat Mesir juga peranan para ulama dan institusi ilmu dalam membangun peradaban Mesir itu sendiri.

Wallahualam.

3/6/18
18Ramadan,
Sahah Masjid Al Azhar Asy Syarif.

#LamaTakMenulis

#MenungguTarikhBalikMalaysia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari