Variasi Agamawan: Masihkah Ada Harapan?

Variasi Agamawan

Kali ini aku nak merungkai suatu kekusutan yang menampar-nampar minda separuh sedar aku selama ini tentang gelagat para agamawan yang menari-nari di persada arena masyarakat. Aku berfikir lama tentang perkara ini, jadi aku terjumpa lah di mana hujung kepala tali yang berbelit itu, jadi kita cuba untuk leraikan satu persatu.

Baik. Seperti yang kita tahu, wajah agamawan di negara kita ni bermacam-macam versi, jadi secara mudahnya, aku bahagikan agamawan ini terbahagi kepada tiga golongan. Aku akan ulas satu persatu bersama peranan setiap golongan ini.

Pertama, Dai’e(Pendakwah)
Kedua, Ulama(Ilmuan)
Ketiga, A’lim Daie ila Allah

Aku nak ingatkan, sekarang skop perbincangan kita adalah berkaitan para agamawan, bukan masyarakat secara umumnya, jadi jangan silap faham pulak point-point aku di kedepan nanti.

Baik.

Golongan pertama, Daie. Mudahnya, para daie ini terdiri dari golongan yang ada kesedaran dakwah yang tinggi, mereka wujud dalam setiap proksi dan prospek, ada dalam setiap lapisan masyarakat, tak kira dia kaya, miskin, tua, muda, terkenal atau tak terkenal.
Tapi, aku nak fokuskan titik perbincangan kita kepada golongan daie yang terkedepan(bahasa arabnya tasadur) untuk menyampaikan dakwah islam kepada ummat. Boleh kita senarai pendekkan seperti sekecil-kecil proksi blogger, vlogger, twittfemes, instafemes, kepada arena yang lebih luas seperti Pencetus Ummah, Daie Millenia, Imam Muda dan macam-macam rancangan tv lagi.

So, apa sebenarnya peranan dan tugasan mereka?

Menurut hemat aku, peranan yang digalas oleh mereka adalah ‘Menyebarkan Keindahan Islam’ sahaja. Tak lebih dari itu. Ya, setakat itu saja jobskop mereka dan  itu saja yang mereka perlu usahakan.  Golongan ini, mereka ada kelebihan dari segi uslub dakwah yang berkesan, kata-kata yang mempersonakan, berpenampilan menarik dan pelbagai lagi seri warna yang menyeliputi persona mereka. Jadi khususiat ini perlulah digunakan semaksimum mungkin untuk menyebarluaskan keindahan Islam membetulkan persepsi buruk tentang Islam secara umum, membincangkan topik keramahan dan keistimewaan Islam dan usaha-usaha mencantik elokkan gambaran Islam kepada masyarakat Islam dan dunia.

Tapi...perlu ditekankan, bukanlah tugas mereka untuk memperdalamkan perbahasan ilmiah, membincangkan topik khilafiah dalam mazhab, bukan peranan mereka mengulas al-quran secara terperinci, bukan tugas mereka menghurai hadis, mentashih hadis, bukan dan bukan. Mereka perlu sedar mereka berada di tapak yang mana dan apa kelayakan dan kebolehan mereka. Disebabkan ada golongan daie seperti inilah terjadinya salaf tafsir ayat alquran, budaya mengoreng huraian hadis, memandai-mandai petik pandangan mazhab tanpa rujukan, dan macam-macam lagi jenayah ilmiah yang mereka lakukan samada secara sengaja atau tidak sengaja.

So, kepada para du’at, nilai diri kalian di mana, dan cuba perkasakan peranan yang hanya berlegar di daerah kemampuan kalian sahaja. Dengan bidang tugasan ini, insya Allah wajah agamawan tidak lagi terpalit dengan kesalahan yang sering mencemarkan nama baik Islam juga pada akhirnya.

Seterusnya, golongan kedua, para ulama dan ilmuan. Pihak yang kedua ini ibarat gunung-gunung yang mempasak perjalanan agama Islam kita ini, juga pemegang rantai-rantain perjuangan para anbiya’ dalam pembelajaran ilmu agama sejak zaman berzaman. Para ilmuan ini terdiri daripada tok guru-tokguru pondok yang menghabiskan segenap umur hidupnya untuk mendidik para santri, menekuni perbahasan ilmu, mengarang kitab, kemudian menghurai pula karya-karya ulama silam, memegang tangan masyarakat, memimpin mereka untuk lebih kenal dan faham tuhan, nabi, cara pengibadatan, hinggalah membaca talqin untuk jasad-jasad ummah di perut bumi.

Jadi, peranan para ilmuan ini? Seperti kita bincangkan di atas, tugas mereka menghuraikan apa yang terbuku, yang tersurat dan tersirat, implisit dan explisit dalam teks-teks agama secara daqiq, memperhalusi huraian dalam nas alquran dan hadis sehingga masyarakat kenal benar akan agama islam ini secara terperinci dan mendapat kefahaman agama yang menyeluruh.

Tetapi....untuk golongan ilmuan ini, jangan lah kita meletakkan secebis keinginan dan meminta untuk mereka menghuraikan apa yang bukan dari bidang mereka. Jangan keluar dari mulut-mulut basi kita memperleceh para tok-tok guru ini kerana mereka tak pandai menghuraikan bab ekonomi, bab perbankan, bab sains gunaan dan sebagainya. Ada juga yang sering memperkecilkan bahawa golongan ini konservatif, ketinggalan zaman, dan sebagainya hanya kerena mereka tidak bercakap perkara yang kita ingin tahu sedangkan mereka tidak punya ilmu tentang itu.
Kita nilailah sendiri, siapakah yang kurang cerdik, kita atau para ulama ini?
Kita perlu tahu, mereka dah habiskan berpuluh tahub mereka untuk mentelaah perbahasan fiqh contohnya hingga menjadi alim dan pakar, dapat mensyarah secara detail dan berstruktur tentang sejarah fiqh, perbandingan mazhab, dalil aqli dan naqli dalam fiqh, alih-alih kita minta mereka hurai bab ekonomi yang mereka tidak sempat belajar.

Nilailah sendiri.

Aku rasa aku dah tulis terlalu panjang pulak dah.. Hampa boleh baca dak lagi ni..

Aku sambung ya..

Baik.. Kita masuk golongan yang ketiga iaitu ‘Alim Daie Ila Allah.
Golongan inilah yang paling sedikit jika nak dibandingkan dengan dua atraf sebelumnya. Ya, sangat sedikit hingga jika dibilang jari di tangan kanan pun tak lepas.

Golongan ini adalah terdiri dari induvidu , yang diambil pati ilmunya dari lautan turath, mempunyai kefahaman yang daqiq dan mendasar dalam perbahasan ilmiah, bukan terawang-awang di angkasa raya, bahkan terpasak kuat dari dasar ulama turun temurun. Bukan setakat itu, malah mereka mampu pula mengintegrasikan dengan arusan modernisasi serta mengharmonikan kedua-duanya hingga terasa ilmu itu tidak terasing dari kehidupan.

Mereka ini bukan sahaja menguasai ilmu agama, tetapi turut meluaskan pembacaan di luar bidang pengajian mereka, falsafah, ekonomi, psikologi, sosiologi, sejarah, geopolitik, semua lapangan ini mereka kuasai menyebabkan visi dan sisi pandang mereka melebar luas, sentiasa mentunas idea-idea bernas dalam mengubati permasalahan semasa.

Dalam pada itu, mereka juga bergerak aktif dalam lapangan dakwah, menguasai media massa, turut turun padang beraktivis di lapangan masyarakat, dan bermacam-macam lagi usaha sama mereka bersama agensi-agensi dalam membumikan dakwah islamiyyah agar dapat diterima secara holistik oleh pelbagai lapisan ummat.

Persoalannya masih wujud kah orang seperti itu?

Jawapannya ada!

Cuma mereka tersangatlah minoriti. Jika dijumpai maka railah pada jua pandangan mereka dan angkat imej personaliti mereka di persada arena yang lebih besar dan luas. Sebarluaskan idea dan sisi pandang mereka kerana ia tersangatlah bernilai untuk membersihkan kembali wajah agamawan yang selama ini banyak terpalit dengan gambaran yang kurang enak.
Semoga dengan keberadaan mereka di dunia ini dapat memberi rahmat kepada ummat sejagat dan seantero luas dunia ini.

Berdasarkan ulasan aku berkaitan ketiga-tiga golongan tersebut, dapat kita simpulkan bahawa masih ada ruang dan jalan untuk membetulkan persepsi dan tanggapan buruk kepada agamawan, dengan syarat setiap dari mereka tahu peranan masing-masing lalu memperkasakannya, juga tidak melangkaui apa yang bukan dari gerak kerja tugas mereka.
Juga perlu diingatkan akan tugas kita sendiri dalam membuat penilaian seadil mungkin bagi sama-sama membantu memulihkan kembali imej para pembawa agama kita ini, agar di kemuncaknya agama kita akan kembali gemilang seperti zaman nubuwah dan zaman keemasan islam dahulu, dan akhirnya agama Islam kita ini akan memacu peradaban yang sudah lama tidur.

Setakat itu penulisan aku kali ini, semoga kita sama-sama mengambil ibrah dan manfaat semaksima yang mungkin.

Aku akhiri dengan nasihat yang selalu diulang oleh para guru kamj di Al-Azhar Asy-Syarif tentang misi seorang agamawan atau ulama.

"نقل الدين بالصورة الصحيحية لا فتة لالنظر"

“Tugas seorang Azhari adalah Menyampaikan Agama kepada generasi selepas mereka dengan Gambaran yang Sahih dan Menarik Perhatian.”

Salam revivalisme.

24 Ramadan,
9 Jun 2018,
Restoran Sahara,
Darrasah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari