Travelog Shita' Vol 1

~Cairo,17 Januari 2017~
Aku tengok paparan skrin Tab Asus hitam kepunyaanku.
Suhu 11℃.
Hari ini aku dalam balutan Lihaf(selimut) gebu, ditambah belaian udara  panas kering Dafayah(heater) yang sudah lama berhibernasi di musim panas, membuatkan terasa penangan Shita' yang mencengkam tubuh.

Musim sejuk sudah menyapa di kawasan muhafazoh Cairo.
Peperiksaan semester satu pun dah tamat, tapi aku masih tiada apa perancangan untuk diisi sewaktu Winter Break selama dua minggu ini.

Yang ada cuma menghadirkan diri ke program WISE( Wacana Pandangan Alam Islam) yang akan diadakan di Dewan Abbasiah Kaherah minggu hadapan.
Selain ke kelas pengajian talaqqi, aku berhasrat untuk memanfaatkan semaksimum mungkin cuti ini untuk bergerak ke takah yang lain dari kehidupan rujiku sebagai orang yang hanya pergi balik kelas pengajian dan kemudian makan, tidur.

Aku berkira-kira seorang Azhari mesti mencabar diri sendiri untuk keluar dari zon selesa yang sama, serta bergerak ke arena baru yang lebih luas.
Akalku mula memukul-mukul benak yang masih keras kerana kesejukan.

Ting!
Satu mesej Whatsapp masuk.
[Hakim, jum teman ana ke Alex, untuk pre-Wise kat sana..]
Syamil Khalis. Seorang teman baru yang aku kenal. Pelajar Jurusan Medik tahun enam. Sangat dedikasi dan consious dengan idea Syed Naquib Al Atas, juga seorang yang bibliophile.

Satu intuisi mendakap minda separuh sedarku.
Ini satu peluang. Tak mungkin aku lepaskan!
Keesokan harinya, aku memulakan Trip ke Alexandria. Kali pertama keluar dari Cairo.

Ya. First time!

Perjalanan ke Alex mengambil masa lebih kurang empat jam jika menaiki Tremco. Kami bertolak jam 11 pagi dari Ramsis dan sampai di stesen Mawaq Gadid, Iskandariah pada jam 2.30 petang.

~Alexandria, 18 Januari 2017~

Suasana sesaknya lebih kurang macam Cairo, cuma jalan rayanya agak teratur kerana semua jalan kecil akan diakhiri dengan jalan utama di persisir laut. Susunan bandar yang tersusun dan agak bersih, penduduk yang ramah membezakan sosiobudaya dari tempat tinggal ku di Kaherah. Tidak hairan ramai yang mengatakan Alex lebih baik dari Kaherah dari sudut susun atur hidup penduduk di sana.

Kami terus menuju ke arah tembok laut untuk merehatkan tubuh dan minda setelah berjam-jam merekok dalam tremco.

Sedang melayan belaian bayu laut yang nyaman, desiran ombak yang mengasyikkan, kebiruan hamparan laut yang menyegarkan kornea mata, bahuku dicuit.

" Jom ke Biblio, kita mai sini bukan nak jalan-jalan.." ringkas sahaja kalam Syamsul, teman permusafiran kami,sambil membimbit kotak berisi makalah-makalah dan buku Al Atas.

Ya. Matlamat kami ke Alex bukan macam orang lain. Kebanyakan yang datang ke Alex untuk bercuti, bersiar-siar, berselfie, berwifie, berseronok, lepak melepak, menghayati ciptaan tuhan kemudian post di facebook sambil hashtag #kembarazhari. Huh.

Kami terus berangkat ke tempat yang dimaksudkan, walaupun aku masih tak tahu apakah nama Biblio tu.

Sampai di hadapan sebuah bangunan agam. Aku tercegat. Kagum.
Bibliotica Alexandrina. Itu nama bangunan tersebut.

Dengan harga tiket semurah tiga genih, dengan perasaan yang taajub, aku melangkah masuk ke dalam perpustakaan yang terbesar di benua Afrika itu.
Apabila masuk ke dalam, ketakjuban aku bertimpa-timpa, rasional aku terkoyak. Biar betul perpustakaan sehebat, secantik ini ada di negara arab, Mesir pula tu, yang mana dicanang negara mundur itu.

Keluasannya aku kira-kira dua kali padang bola, terdiri dari empat tingkat, ruang setiap tingkat dipenuhi rak-rak buku, disediakan kemudahan meja belajar yang kondusif berserta lampu meja dan soket pengecas, kemudahan internet yang laju dan sistem carian buku yang efektif, ditambah lagi suasana yang damai dengan pencahayaan yang kekuning-kuningan, membuatkan sesiapa sahaja khususnya penggemar buku tak nampak jalan keluar dari tempat yang tersergam itu.

Ada juga disediakan bilik-bilik khas yang ditempah untuk ruang privasi, ada bilik mesyuarat dan diskusi, ada ruang untuk OKU yang cacat pendengaran dan penglihatan, ada ruang digital, ada muzium Anwar Sadat(bekas presiden mesir), dan yang paling menarik, terdapat suatu ruang dikhususkan untuk pengkaji bahasa Perancis dan diwajibkan bertutur dalam bahasa itu sewaktu berada dalam kawasan tersebut. Menurut info yang aku dapat, Kerajaan Perancis menginfakkan lebih kurang 50 ribu buah buku berbahasa Perancis kepada perpustakaan Iskandariah untuk salah satu langkah mempromosikan bahasa mereka.

Setelah penat 3 jam pusing satu bangunan dan selesai solat Asar. Kami bergerak ke Bangunan Mara di salah sebuah tempat di Alex untuk mengisi perut yang meraung-raung kelaparan. Nasi goreng dan Ayam Krispy menjadi santapan jasmani dengan harga semurah 20 geneh.

Perut kenyang, badan segar, tiba pula masa untuk minda berpencak.
Bermula sesi bedah buku "Islam dan Sekularisma" karangan Syed Naquib Al Atas oleh pembentang Ahmad Ardy. Ternyata kabar-kabar akan kehebatan Ahmad Ardy dalam menghurai sejarah dengan penuh terpeinci dan tersusun tak boleh dinafikan lagi. Segala maklumat, nama tokoh, tarikh kejadian disebut lancar tanpa merujuk kepada buku. Isi buku Islam dan Sekularisma menjadi ringan untuk dihadam, beberapa idea Al Atas tentang sekularisasi ilmu, budaya sekular dalam kalangan masyarakat dunia, pertembungan tamadun barat dan tamadun Islam dan sebagainya dapat digapai dengan mudah.

Satu jam setengah perbentangan memang sangat memuaskan. Masuk ke sesi soal jawab. Muncul Anas , pelajar jurusan medik dan juga filsuf muda dari mantiqah Mansoura membangkitkan beberapa persoalan berkaitan justifikasi maksud Universal atau Kesyumulan atau Kesejagatan yang diclaim oleh setiap tamadun yang mana saling kontradik dan suatu parradox yang sukar ditemui jalan penyelesaian. Berlaku perdebatan hangat antara Anas dan Ahmad Ardy dalam isu ini. Aku hanya mendengar.

Sampailah kepada satu point dari hadirin tentang fungsi Al Atas atau ulama dalam menegur pemimpin zalim. Semasa itu, aku mengambil peluang mencelah, aku menceritakan bagaimana fungsi sebenar seorang ilmuan dan bagaimana ulama-ulama Al Azhar mendepani para pemerintah.

Fungsi dan visi seorang agamawan secara tuntasnya adalah "Menyampaikan agama(Dîn)pada generasi selepasnya dengan cara yang menarik perhatian"
Itu visi utama seorang ulama, hidup mereka mestilah berpasakkan tujuan menyampaikan agama kepada masyarakat agar kenal tuhan, kenal nabi, dan tahu matlamat hidup.

Setelah itu, barulah berganjak ke langkah-langkah lain dalam bersiasah, berekonomi, menegur pemimpin dan sebagainya setelah tugas menyampaikan hidayah itu sudah selesai.
Begitulah serba sedikit apa yang aku kongsikan pada perbincangan pada malam itu.

Setelah tamat diskusi, kami terus membawa diri dengan mata yang separuh terbuka ke destinasi penginapan sementara di rumah Murtadho , mahasiswa perubatan Uni Iskandariah, dan merupakan pelopor Alexandria Book Movement, suatu gerakan membaca di Alex.

Setiba di rumah Murt, kami terus melelapkan mata dan tidur dengan nyenyak untuk menyambung perjalanan esok hari ke Zagaziq.
Bersambung...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari