Trevelog Shita' Vol 2

Subuh yang dingin.
Seusai solat, aku ke ruang tamu rumah Murt yang sederhana besar itu.
Rumah bujang dua orang. Murt tinggal dengan seorang lagi student medic University Alexandria, kedua-dua mereka sama-sama di tahun empat sekarang.
Aku melabuhkan punggung di atas sofa. Menghela nafas panjang. Menenangkan minda sejenak dari kekusutan dunia.

Sedang aku melayan perasaan kosong seorang diri, Ahmad Ardy datang membimbit buku(*lupa judulnya) dan juga senaskah buku nota lalu menghempaskan badan di sebelah ku. Selang beberapa minit,datang pula Murt yang baru selesai solat subuh meramaikan ruang tamu.

Kami mula berborak-borak, Murt menceritakan tentang kehidupannya di Alex yang yang berbeza kos sara hidupnya berbanding di Cairo, kemudian masuk perbincangan beberapa topik dalam buku yang dibaca Ahmad. Semakin lama, semakin rancak bersembang, Murt pula mengambil inisiatif membancuh Nescafe panas yang membasahkan tengkak sekaligus menambah mood perbincangan kami. Sejujurnya aku betul-betul teruja berborak dengan mereka berdua. Terasa kerdil apabila kita hanya canggung mendengar perkongsian tentang keluasan bacaan  mereka, ketepatan dalam berhujah, dan bagaimana mereka meraikan pandangan yang berbeza, walaupun ketika sembang-sembang santai.

Bagi aku, suatu nilai yang hilang dalam diri seorang penuntut ilmu agama tetapi terpasak baik dalam pelajar jurusan perubatan seperti Ahmad dan Murt.
Anjakan paradigma perlu dimulakan untuk kembali membina watak seorang Azhari yang mandiri dan flesibel. 
Ini hematku!

Jam 9. Kami mula mengatur langkah meninggalkan rumah apartmen Murt. Ahmad Ardy ke Bibliotheca, Naqib dan Irfan bersiar-siar sekitar Alex sebelum pulang ke Cairo, aku, Syamil dan Anas bergerak ke Zaqaziq. Kami berpecah.

Setiba di stesen Mawaq Gadid, kami menaiki kereta jenis Peagot klasik yang memang disediakan untuk disewa ke mana-mana mantiqah seluruh Mesir. Serius, suatu pengalaman baru menaiki kereta klasik, untuk perjalanan ke mantiqah lain yang mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah. Perbezaan menaiki kereta ini adalah drivernya mengunakan 'jalan kampung' berlainan tremco yang terus menggunakan lebuh raya. Jadi suasana perjalanannya tak serupa. Sepanjang perjalanan, aku menggunakan sepenuh masaku untuk meninjau persekitaran tempat, lagak masyarakat, pembangunan dan sebagainya.

Jam 12.30 kami tiba di perhentian bas Zaqaziq.

Zaqaziq (atau sebutan amminya Zaaziq kerana loghat mesir menggantikan sebutan Qaff kepada Hamzah, maka, mereka lebih biasa menyebut Zaaziq) adalah satu pekan sederhana kecil, tidak terlalu padat, jalan raya yang kurang sesak, deretan kedai yang berjajar, dan juga terdapat sebatang sungai bersih yang membahagi dua bahagian pekan Zaqaziq. Selain itu, penduduk di sini sangat teruja apabila bertemu dengan orang asing, tambah-tambah student dari Malaysia. Mereka berasa bangga apabila dapat berbual dengan orang Malaysia tatkala menyebut-nyebut pelajar Malaysia sebagai 'Ahsan Nass' (Manusia terbaik), mereka juga melahirkan rasa takjub akan kemajuan yang dikecapi oleh Negara Malaysia yang menyandang sebagai 'Negara Islam Contoh'.
Aku sempat berbual dengan beberapa pemuda di situ  sewaktu menaiki tremco sepanjang perjalanan dari stesen perhentian ke rumah Malaysia berhampiran Universiti Zaqaziq.

Sepuluh minit menaiki tremco, akhirnya kami sampai di rumah Malaysia. Di sana, Abrar, seorang mahasiswa tahun akhir Perubatan di Universiti Zaqaziq menyambut kehadiran kami bertiga. Belum sempat kami merungut akan perut yang kosong, Abrar sudah memberi cadangan untuk menikmati Creep yang menjadi sebutan dan tumpuan barangsiapa sampai ke bandar Zaqaziq.

Creep Firaq Krispy menjadi santapan kami berempat di kala malam mula melabuhkan tirainya.

Di samping menjamu kerangupan ayam krispy dalam balutan roll yang gebu, kami masing-masing membuka topik perbincangan untuk memanfaatkan masa yang ada. 

Anas si Filsuf Mansoura membuka topik dengan mempersoalkan akan kurangnya pelajar jurusan agama dalam membaca buku dan hanya sibuk dengan semangat 'perjuangan politik' yang baginya sangat mensia-siakan dan menghampakan. Bagiku itu suatu realiti pahit yang harus ditelan. Sayugia, aku menerangkan akan bagaimana fikrah seorang Azhari yang bermanhaj Azhar dalam memandang permasalahan ini. Kami bertukar pendapat dan masing-masing puas hati akan apa yang dibincangkan. 
Kendatipun, Abrar pula membawa satu kekecewaan atas krisis yang dihadapi oleh para agamawan yang semakin hari semakin runcing, dan menunjukkan sifat berpecah belah yang tiada kesudahannya. Aku memberi pandangan dan menceritakan secara kronologi tentang penyakit para agamawan yang mana berpunca dari sifat masyarakat yang semberono kepada ilmu agama (Aku pernah bincangkan pada entry aku sebelum ni).
Sungguh perbincangan ringkas dan santai ini membuka mataku akan keperluan pelajar jurusan agama duduk satu meja dengan pelajar jurusan lain untuk bertukar-tukar buah fikiran dan berdialog.

Wah!! Perjalanan harini kian menarik!

Selepas solat jama' taakir isyak dan magrib, kami mula berkumpul di halaman depan rumah tersebut. Lebih kurang 20 orang hadirin pada malam itu, agak ramai berbanding jumlah di Alex. Menariknya pada diskusi pre-Wise kali ini, ia dihadiri tokoh-tokoh gerakan membaca dari mantiqah yang pelbagai seperti Cairo, Mansoura, Alex, dan Zaqaziq  yang masing-masing punya haibah dan kualiti pemikiran yang unik. 

Aku semakin teruja. 

Diskusi dimulakan dengan perbentangan oleh Kak Helma Hassan, pelajar tahun akhir perubatan di University Cairo, yang membawa tajuk 'Sejarah Islam dalam Alam Melayu', iaitu salah sebuah buku Syed Naquib Al Atas. Penerangan yang mendalam dengan point-point ringkas menepuk minda sedar kami akan isi kandung idea Al Atas dan kepentingannya kepada peradaban baru bangsa Melayu khususnya dan penganut agama Islam amnya di Malaysia.
 
Kemudian, diteruskan lagi bedah buku kedua oleh Khairullah, pelajar perubatan tahun tiga Universiti Azhar, beliau  membincangkan tajuk 'Masalah dalaman Kaum Muslimin' yang merupakan salah satu chapter dalam buku 'Islam dan Sekularisme'.
Beberapa soalan serta sesi perbincangan dirancakkan oleh seorang lagi tokoh pemikir muda yang aku kagumi, Aiman Nuraref, pelajar perubatan Universiti Azhar, yang membuatkan suasana diskusi yang tegang menjadi rancak semula juga bersulam gelak tawa hadirin dengan celoteh Abrar yang kekadang mencuit para pembetang.

Sesi soal jawab berlarutan sehingga ke jam 11, dan para hadirin sudah keletihan setelah berperang minda untuk benar-benar menghadam tajuk perbincangan agar 2 jam yang diluangkan itu tidak menjadi sia-sia.

Setelah semua selesai, masing-masing bersurai, hadirin yang menetap Zaqaziq pulang ke rumah masing-masing,cuma status kami dari Cairo sahaja yang masih mencari tempat untuk bermalam. Setelah berbincang,Abrar menawarkan rumahnya untuk didiami buat semalam kepada kami.
 Aku yang pada awalnya bercadang untuk menetap di Zaqaziq berubah untuk pulang pada malam itu juga kerana ada urusan lain di rumah yang perlu diselesaikan juga untuk menyiapkan tempat tetamu dari Jordan pada esok harinya,

Aku terus mengemas bagasi dan terus bersiap untuk pulang ke Cairo bersama Aiman dan Khairullah menaiki tremco.

Kali ini kami menempuh perjalanan 2 jam dari Zaqaziq ke Cairo dengan bertemankan hamparan langit malam dengan angin yang mencucuk-cucuk. Aku membalut scarf biru di leher dan memakai tooi snowcap kerana terlampau sejuk. Jarang aku keluar ke tempat jauh tambahan malam-malam sebegini.

Sepanjang perjalanan, aku menghadam semula apa yang aku peroleh sehari di Zaqaziq serta perbincangan ilmiah bersama orang-orang hebat yang aku tidak sesekali menjangka bertemu dengan mereka. Aku berfikir-fikir, jika lah aku menjalani kehidupan di Mesir ini hanya dalam kelompok yang sama, suasana yang sama, sibuk dengan urusan 'perjuangan' yang tidak berpenghujung, manakan aku dapat berjalan sejauh ini malah 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan pelajar perubatan yang tak dinafikan kehebatan mereka.

Persoalan demi persoalan muncul berganti-ganti sehinggalah mataku semakin lama semakin layu kerana kepenatan, tidak lama selepas itu terus terpadam.

"Hakim..jom..dah sampai Cairo" Khairullah mengoncang badanku.
" Yaka..sat nya.." aku mengabus mata.

Yeah. Dah sampai.. Rindunya rumah!! Hatiku berteriak.

Bersambung...



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari