Muzik dan Cinta

Pernah seorang ustaz bertanya kepada kami di dalam kelas,

"Apa beza antara nasyid dan lagu?"

Banyak tafsiran yang berlegar-legar di kotak fikiran kami. Seorang kawan kami angkat tangan lalu menjawab,

"Ustaz.., nasyid tu pasai ketuhanan, dan lagu tu lagha ustat.." bersungguh dia menjawab.

Ya. Itu juga yang kami semua fikirkan. Jawapan cliche.

Sang guru menyambung bicaranya,

"Kalau Siti(Nurhaliza) menyanyi lagu pasai ketuhanan, Bunkface nyanyi lagu pasai nabi, hampa nak panggil apa?"

" Team nasyid macam Inteam ka Unic ka pulak nyanyi pasai cintan cintun(tak ada elemen ketuhanan), macam mana pulak?"

Kami tergamam. Minda sedar kami mula berputar laju ibarat pusingan gasing yang baru mencecah tanah.

Ustaz tinggalkan persoalan itu kepada kami dan masing-masing cuba menterjemahkan maksud di sebalik soalan yang simpilstik itu.

Memang benar, aku sendiri pada awalnya berfikir begitu. Kita meletakkan status dan label muzik kepada induvidu yang melontarkan nyanyian tersebut sahaja tanpa melihat konteksnya.

Dasawarsa ini, banyak perkara yang perlu pendefinisian semula.

Realitinya sekarang, muzik yang bergenre nasyid sudah dipandang sepi malah hanya menduduki
kedudukan tercorot di carta hati para pendengar.

Tema muzik yang layu, lirik yang berulang siar tentang cinta ajnabi, isteri solehah, nikah kahwin membuatkan nasyid sudah tidak lagi menjadi wadah untuk mengingati tuhan.

Manakala, muzik yang berorientasikan balada, RnB, yang dinyanyikan oleh segelintir penyanyi pula menepati elemen peringatan kepada tuhan, membawa pendengar mengenal elemen kasih sayang kepada nabi serta mengangkat unsur patriotik dan kemanusian.

Cuma ia masih terperangkap dalam terminologi lagu yang ditaksirkan sebagai lagha, melalaikan dan sebagainya.

Banyak contoh artis tanah air yang membawa mesej 'nasyid' dalam lirik-lirik lagu mereka seperti Faizal Tahir dengan lagu epiknya 'Assalamualaikum' yang menerapkan sifat rahmah, dan mesej uniti kepada umat manusia. Dan yang terkini beliau lagu 'Setia' yang dikompilasikan dalam album terbaru 'Anatomi'.

Artis rap ternama, Malique juga menampilkan banyak lagu yang bukan sekadar lirik kosong menghiburkan jiwa, tetapi sarat dengan elemen sastera , seperti analogi, epilog, personafikasi, metafora, rima yang membuatkan setiap bait lagunya kenyang maksud jika didengar dengan teliti.

Seorang penyanyi wanita, Fynn Jamal, yang berhijrah dari gadis berskirt pendek hinggalah ke niqab
hitam, menyimpan seribu satu pengalaman hidup bersama suami dan anak autismenya, dan diterjemahkan melaluai rangkap-rangkap lagu nyanyiannya. Antara lagu yang menyentuh jiwa kudusku seperti lagu 'Tahu', 'Terbang Tunduk' dan 'Arjuna Beta', kadang membuat aku mengalirkan air mata.
Huh.

Sebenarnya, ramai lagi  penyanyi-penyanyi tanah air yang membawa mesej kecintaaan tulen dalam latar muzik mereka serta menyerap falsafah kehidupan yang menjadikan lagu nyanyian mereka benar-benar hidup dalam nadi masyarakat.

Dan hematku, mereka ini adalah kader-kader dakwah yang menyampaikan nilai dan norma Islam dalam arena muzik dan kesenian. Walaupun tak dinafikan masih ramai golongan artis yang masih jauh dari faham agama, tetapi keberadaan mereka serba sedikit memurnikan pentas industri ini.

Adapun profesion nasyid juga perlu diberi nafas baru atau habis kurang mengekalkan elemen nasyid tradisional seperti lagu-lagu dari Raihan, Rabbani dan Hijjaz yang'tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas' malah masih segar mengalir di sanubari segenap lapisan masyarakat mahupun tua, muda, kaya, mahupun miskin.

Mungkin ini hanya lontaran pendapatku untuk kita sama-sama timbang semula istilah-istilah mainstream di persada pemikiran masyarakat kita agar perkara yang sempit boleh di lebar luaskan, dan maksud yang tersepit kita lapang-lapangkan.

Semoga buah fikiran ini menjadi asbab untuk kita sentiasa menerima semua pendekatan yang menguntungkan Islam dari perspetif muzik dan cinta.

#salamcinta

9/3/17
Lombok cafe,
Darrosah,
Cairo.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari