Anak Rantau

Seusai aku menunaikan solat asar di Masjid Al Azhar, aku bertapak perlahan-lahan keluar ke ruang dataran masjid sambil menggalas beg hitam dan menjinjit selipar adidas lusuhku. Orang ramai pun mengatur langkah masing-masing keluar dari perut masjid.

Sewaktu di muka pintu, satu jemaah lebih kurang sepuluh ke lima belas orang berarak masuk ke dalam ruangan Masjid Azhar. Aku terus berjalan keluar sambil acuh tak acuh mengangkat muka kerana memikirlan destinasi tujuanku selepas keluar dari masjid.

Tiba terdengar bias-bias suara menerjah ke daun telingaku.

"Eh..tu..tu..macam orang Malaysia.." bunyinya seakan berbisik-bisik.

Aku mula memalingkan muka kepada jemaah itu. Ternyata rombongan jemaah umrah dari Malaysia.

" Orang Malaysia eh..?" Seorang wanita berumur 40 an menegurku.

" Ya...ya..." ucapku sambil mengoreskan senyuman.

"Ni...ni orang Malaysia..." seorang wanita mengamit perhatian yang lain untuk mendekatiku.

Tampak jelas kegirangan terpancar di setiap wajah para jemaah yang kebanyakkan dalam lingkungan umur ibu dan ayahku.
Mereka mula mengerumuniku.

Seorang demi seorang bertanya kepadaku, asal mana, negeri mana, berapa tahun di Mesir, tinggal kat mana, macam mana belajar, dan pelbagai lagi soalan seolah terasa diriku seperti artis. Aku pun berbalas sulam soalan dan jawab kepada mereka tentang perjalanan ke Tanah Haram, bagaimana pengalaman di Mesir, dalam masa tempoh dua puluh minit kami berborak.

Setelah agak lama bersembang dan berkongsi pengalaman, tourist guide berbangsa arab datang memberi isyarat untuk bergerak ke destinasi lain.

Aku pun mula meminta untuk mengundur diri dan bersalaman dengan pakcik-pakcik yang ada dalam jemaah itu dan meminta doa dari mereka.

Sebelum berpisah, seorang pakcik menghulurkan 20 genih untuk belanja katanya. Aku pun berbasah basi menolak tarik duit pemberiannya dan kemudiannya terima.

Tatkala selepas itu, semua makcik dan pakcik yang dah wida' sebentar tadi berpatah balik untuk turut beri wang kepadaku. Seorang makcik memunggah beg tangannya, seorang pakcik memeriksa poket seluarnya, begitu bersungguh-sungguh nak memberi kepada anak melayu rantau ini. Aku terharu melihat gelagat mereka.

Masing-masing menghulurkan apa yang ada. Duit genih mesir ada, duit Saudi ada, duit ringgit Malaysia pun ada.

Setelah semua serba sedikit memberi dengan diselangi kata nasihat dan jaga diri, mereka keluar beramai-ramai, dua tiga orang masih memaling belakang untuk melambai-lambai kepadaku. Aku membalas dengan lambaian dan simpulan senyuman.

Aku lihat gumpalan wang dikedua-dua tanganku. Rasa sebak.

Aku melihat mereka dari jauh, semakin menjauh lalu bercampur dengan keramaian yang lain.

Aku masih berdiri di samping pintu masjid.

Aku tersenyum keseorangan, dan memikirkan beginilah rasanya perasaan apabila belajar jauh dari tanah air, kemudian jumpa dengan sebangsa kita, rasa itu sangat mengujakan.

Terima kasih pakcik dan makcik!!

16/3/17
DMAK,
Abbasiah,
Cairo.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari