Trevelog Shita' Vol 3

Harini aku bercadang ke Maarad Kutub Qohirah atau nama lainnya Cairo Book Festivel dengan ditemani oleh Ustaz Azam dan Dr Nasrun, kedua-dua mereka adalah ahli bait(housemate) aku. Ustaz Azam merupakan calon Dirasat Ulya(Master) Aqidah Falsafah Universiti Al Azhar, dan Dr Nasrun adalah satu-satunya orang yang aku kenal akan menyambung master perubatan di Mesir. Sungguh, aku serumah dengan orang-orang hebat, yang mana serba sedikit tempias kepada diriku yang masih merangkak-rangkak ini.

Sampai di hadapan pintu pagar Maarad, kami terus membeli tiket dan beratur panjang. Ya, memang panjang sehingga boleh jarak antara orang di awal baris hingga ke hujung mengambil masa lima minit berjalan.

Fuhh!!

"Orang arab membaca ka?" Benakku bermonolog sendirian tatkala memeluk tubuh sambil menunggu giliran masuk.

Jika tiada permintaan, manakan ada peluang perniagaan.
begitulah sifirnya.

Masih berbaki qawaid  ilmu ekonomi yang masih bersisa-sisa dalam ingatanku.

Sebenarnya, budaya membaca atau kegilaan membeli buku di Mesir lebih rancak dibandingkan dengan di Malaysia (walaupun masih jauh dengan budaya di Eropah), cuba masyarakat mesir tak show off  keghairahan mereka dalam pembudayaan ini. Manakan tidak di Darrosah sahaja (di kawasan perumahanku) ada hampir 25 buah maktabah yang menjual pelbagai genre kitab, novel, buku terpakai dan sebagainya.
Tambahan lagi, budaya membaca quran, tak perlu dipertikaikan lagi. Mungkin akan ku kongsikan di ruangan lain.

Setelah setengah jam, kami mula melangkah masuk ke dalam kawasan Maarad,

Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa ramainya manusia di dalamnya.

Penuh dan sesak. 

Kami mula mengatur langkah  mencari maktabah-maktabah yang ditarget.
Sasaran kami adalah kitab-kitab luar negara Mesir yang rare dan sukar didapati. Kemudian kitab yang dijual murah dan yang ada subsidi kerajaan. Menurut Ustaz Azam, beginilah cara berbelanja di Maarad, kerana kekadang keghairahan membeli kitab yang membuak-buak itu akan menyebabkan kita boros dan sebenarnya merugikan duit. 

Dua jam setengah kami pusing kawasan Maarad, dari pintu depan hingga ke pintu belakang. Di jari jemari kami pun penuh dengan beg plastik dari pelbagai maktabah. 

Terasa puas berbelanja harini. Dengan kos yang sedikit, dapat membeli banyak jenis judul kitab. Kali ini aku banyak beli kitab-kitab bacaan yang luar dari bidangku. Kitab tentang sejarah, falsafah, sastera, menjadi pilihanku.

Tak dinafikan, pelajar jurusan agama, perlu meluaskan bacaan mereka berkaitan dengan ilmu-ilmu lain yang luar dari bidang pengajian Islam, agar para agamawan dapat berdaya saing dengan graduan-graduan jurusan lain, serta mempunyai modal yang cukup untuk berhadapan  dengan pelbagai ragam manusia kelak.
Nak dijadikan cerita, apabila ketika aku menjadi LO kepada tetamu ketika Wise baru-baru ini, En Shahrool menanyakan kepadaku suatu soalan yang aku tak mampu jawab, walaupun dah hampir setahun lebih aku di Mesir.

"Ustaz Hakim, lepas zaman firaun kan..apa jadi kat Mesir eh, sampai lah jadi Mesir sekarang..?" En Shahrool bertanya kepadaku ketika perjalanan aku menghantarnya ke airport.

Aku tergamam. Memang tiada sebutir info pun yang terpahat dalam kotak minda aku, dan tak pernah tertanya pun persoalan tersebut sebelum ini.

Jadi, oleh kerana itu, buku pertama aku cari ketika sampai di Maarad adalah tentang sejarah peradaban Mesir, dan aku jumpa sebuah buku bertajuk 'Al Misr Wa Misriyun' karangan Douglas Beriur di terjemah ke dalam bahasa Arab oleh Atiff Muktamad. Dari buku itu, aku dapat jawapan satu persatu berkaitan Mesir, dan beberapa jawapan berangkai berkaitan dengan persoalan yang utama.

Sungguh-sungguh bermanfaat.

Keesokan harinya, aku ke Maarad seorang diri untuk mencari beberapa kitab-kitab dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Aku berjaya membeli kitab penting dalam rujukan Fiqh Syafie, iaitu Al Mu'tamad karangan Dr. Muhamad Zuhaili, empat jilid dan kitab At Tamhid karangan Imam Isnawi, dari maktabah Muasasah Risalah. Kemudian kitab Dalil Falihin Syarh Riyadus Salihin karangan Imam Nawawi serta kitab Bulughul Maram untuk rujukan Hadis. Selesai memborong kitab berjilid itu, aku terus ke Maktabah Darul Fikr dari Syiria untuk membeli kitab-kitab Syeikh Ramadhan Bouti, dan ke Maktabah Dar Nurul Mubin untuk membeli kitab Syeikh Said Fuodah.

Sehingga petang, aku pun mula mengatur langkah keluar dari pintu pagar Maarad. Semasa di dalam Metro dari stesen Maarad, aku mendapat idea untuk melajakkan perjalanan ku ke Helwan, iaitu stesen terakhir di hujung selatan Kaherah. Uniknya Metro di Mesir ini, pergilah stesen jauh mana pun, bayarannya cuma satu geneh.

Aku mula mengambil Metro ke laluan Helwan dari stesen Attabah, pada awalnya sesak kerana waktu petang itu adalah waktu kemuncak bagi penumpang-penumpang yang pulang kerja, semakin bergerak ke stesen seterusnya, jumlah penumpang semakin berkurang. Jadi, aku berpeluang duduk dan merehatkan diri di bangku dalam metro itu. Perjalanan selama satu jam  ke Helwan memberi pengalaman dan suasana baru trevel menaiki metro.

Setiba di Helwan, aku keluar dari stesen, aku pusing dan bersiar-siar di sekitar kawasan bandar Helwan itu, suasananya persis Madinah Nasr, agak maju dan bertumpu. Setelah 45 minit meronda, aku kembali ke stesen kemudian beli tiket untuk pulang ke Darrosah.

Sungguh macam-macam ragam manusia yang tersaji selama perjalanan pergi balik aku ke Helwan.

Sangat menyeronokkan!

Di hari-hari terakhir Maarad, aku ditakdirkan bertemu dengan suatu keluarga hebat .Walaupun pertemuan yang singkat, kerana aku diminta untuk membawa mereka sekeluarga melihat suasana Pesta Buku Kaherah, tapi ia sangat bermakna buatku. Sehingga kini, aura berkat kedatangan mereka masih membakar semangat belajarku dan terubat sedikit kerinduan kepada mak ayah serta keluarga jauh di tanah air.

Semoga Allah merahmati mereka semua.

Sesungguhnya, perjalanan Shita' tahun ini sangat memberi seribu satu makna dan pengajaran yang membekas di jiwa ragaku. Mungkin bilang langkahnya kecil jika dibandingkan dengan rehlah kengkawan lain yang lebih jauh berekspedisi, tapi, ini lah sahaja yang dapat aku coretkan buat simpanan peribadiku dan buat santapan pembaca.
Sehingga sinilah coretan trevelog aku sepanjang musim sejuk kali ini.
Semoga kita berjumpa lagi di sesi trevelog yang lain.

Doakan agar aku  istiqamah dalam jalan ilmu ini dan diberi kekuatan untuk terus berkarya.

Salam muhibbah dari seorang treveler azhari.
#RevivailismeWibawaAzhariy
#dahmasukSoifi
#selamattinggalShita'
3/3/17
Bait Azhariy,
Darrosah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari