Solat Jemaah di Masjid Mesir

Kali ini aku nak kongsikan beberapa panduan bagi sesiapa yang bersolat jemaah di mana-mana masjid di Mesir. Aku juga akan sentuh beberapa pertindihan sosio budaya masyarakat kita di Malaysia dan masyarakat arab di Mesir.

1. Pakaian.
Secara umumnya, masyarakat di sini tak ada pakaian solat yang khusus dan mereka terus solat dengan pakaian apa yang mereka pakai sebelum solat. Walau apa waktu solat sekalipun, ada yang datang pakai baju kerja,pakai tshirt biasa, kadang pakai short pan pun ada, mungkin ada sesetengah kaki msjid saja yang pakai jubah dan kopiah.
Berbeza dengan masyarakat melayu, kita telah dididik dari kecil, sekurang-kurang tukar kain pelikat, baju melayu berbutang dan kopiah, kalau sekarang, berjubah atau berkurta. Lihatlah bagaimana ulama tanah air kita mengajar kita agar menjaga sepenuh kesucian dikala mana ingin bertemu Rabbul Izati, tapi masih ada mempertikai adat mulia ini dengan pandangan skeptik dan jumud.
Cuma, nak dijadikan cerita, pertembungan sisi pandang budaya masyarakat Mesir agak berbeza tentang kain pelikat atau mereka namakan 'izar'. Bagi mereka, siapa yang memakai izar di tempat awam, maka ia sangat mengaibkan kerana, ia menandakan lelaki itu baru selesai jimak(setubuh) dengan isterinya. Pelik kan bunyinya. Tapi itulah hakikatnya. Maka, jangan sesekali memakai kain pelikat ketika ke masjid kalau tak nak dipandang 'lain macam' oleh orang arab.

2. Saff solat.
Ini adalah perbezaan besar antara orang Malaysia atau orang wafidin am nya dengan orang mesir. Jika kita solat dalam satu saff, ada lopong-lopong maka orang wafidin lah tu, tapi kalau orang mesir, mereka sangat sangat mementingkan kerapatan saff. Mereka akan berusaha rapatkan jari kelingking kaki mereka dengan orang sebelah walaupun mereka perlu mengkangkang kaki dengan luas semata-mata tak mahu saff terputus. Sampaikan aku sendiri pernah pengalaman, ketika solat, tetiba pakcik arab sebelah aku, tarik kaki aku untuk rapatkan kaki dia masa tengah rukuk, terpana aku. Aku pun samakan kaki dengan dia dan teruskan solat. Itulah orang Mesir ketika solat.

3. Waktu iqamat.
Waktu iqamat di Mesir berbeza-beza tempohnya selepas azan berkumandang. Dan aku rasa setiap masjid di Mesir lakukan perkara yang sama. Waktu iqamat paling lama adalah waktu subuh, lebih kurang 20 minit, signifikannya adalah ada hadith nabi lebih kurang mafhumnya "Orang yang memiliki langit dan bumi,serta seisinya adalah orang yang solat duanrakaat sebelum subuh", orang Mesir amat mementingkan solat sunat fajar dua rakaat, sehingga semua habis solat sunnat, baru muazin mula iqamat. Kalau kita yang tak biasa ni, jenuh menunggu sementara nak iqamat tu, tapi tak ada masalah isi masa dengan mengulang hafalan. Waktu paling singkat adalah waktu maghrib, seusai  saja azan terus iqamat, alasannya adalah solat qabliyah maghrib tidak termasuka solat sunnat yang ddigalakkan, maka orang mesir kebanyakkannya akan tinggalkan. Waktu-waktu lain, lebih kurang sama, tempoh dalam 5 minit, kemudian muazin akan iqamat.

4. Kasut.
Aku masih ingat lagi pertama kali aku solat di masjid Mesir, sebelum masuk masjid, aku dan beberapa lagi kawan aku susun kasut elok-elok saja kat tepi pintu masjid, semacam mana kat Malaysia lah. Alih-alih tengok orang lain semua masuk masjid bawak kasut sekali, kami pun pelik, bila masuk ke dalam masjid pula, ada rak kasut di setiap tiang masjid, kejutan kedua menerpa kami, garu kepala juga dibuatnya. Setelah itu baru lah kami faham, budaya mesir macam ini. Dan kemungkinan besar untuk mengelak kehilangan kasut jika ia dibiarkan di luar, maka membawa kasut ke dalam dan simpan di rak dalam masjid lebih sekuriti dan terjamin keberadaannya. Sejak itu, kami pun mula belajar bawa kasut kedalam masjid dan membawanya berhampiran dengan kami.

5. Ruang untuk Wanita.
Mungkin agak kekurangan di sini adalah fasiliti masjid mesra wanita. Ini kerana, para hadirin masjid kebanyakkan dari kalangan lelaki, wanita mesir jarang-jarang sangat datang solat di masjid, mereka dididik untuk imarahkan solat di rumah. Berbeza dengan Malaysia, kita selalu lihat makcik-makcik bertelekung putih berjalan perlahan lahan ke masjid, kekadanng memimpin tangan anak mereka. Jujur, aku rindu suasana indah itu.
Jadi, ruang solat, tempat wuduk, dan tandas wanita sangat terhad kecuali masjid-masjid yang besar dan terkenal seperti Masjid Al azhar dan Masjid Ar-Rahman Rahim, masjid negara di Kaherah.

Jadi mungkin setakat ini saja aku ingin berkongsi, insyallah kita berjumpa di lain masa.

3/10/17
Pizza Horus,
Awal Sabiek.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari