Kuasa Tuhan

Selepas tamat kelas Nahu di Masjid Al Azhar, aku terus ke Raudhah Naeem untuk makan malam di sana, selesai makan dan solat aku bergerak pulang.
Di tepi jalan, berdekatan lorong tangga Raudhah Naeem, ada dua orang budak-budak arab menjual gula-gula kapas.

Aku pun timbul keinginan merasa pemanis mulut tersebut kerana sudah lama tak menikmatinya. Aku pun bertanya harga sebungkus. Dua orang budak itu masing-masing berebut ambil bungkusan mereka lalu menawarkan 5le sebungkus. Aku kaget, kerana kebiasaannya harganya sekitar 1 ke 2 le saja. Aku mula berniat membatalkan, lalu mereka menawarkan dua bungkus 5le, dan aku bersetuju. Aku mnyeluk sakuku, ternyata tiada duit kecil. Lalu mengeluarkan dompet untuk mengeluarkan duit besar untuk dipecahkan pada budak itu. Aku memberi 50le kepadanya, lalu dipulangkan 40le. Aku minta baki 5le, dia berdegil, katanya dia menjual dua bungkus dengan 10le. Akibat tak berpuas hati, aku rebut balik duit 50le itu kembali, lalu beredar.

Sampai lebih kurang 200 meter, aku baru teringat akan sesuatu. Dompet aku. Aku mula gelabah, periksa kocek seluar, periksa semua bahagian beg, selongkar barang dan buku. Ternyata, sudah hilang.

Mindaku terus menangkap wajah dua muka budak yang jual gula kapas tadi. Aku bergegas ke tempat tersebut kembali. Tapi mereka sudah tiada. Aku makin gelisah. Mula membayangkan lebih kurang 200le dalam dompet itu beserta kad-kad bank. Aku bermandi peluh ketika itu. Aku keluarkan balik barang-barang aku kembali. Memang sah dicuri!

Sedang sibuk menyelongkar beg, seorang pemuda arab bertanyakan hal aku yang kelihatan gelisah. Beliau dengan tenang mendengar penjelasan aku satu persatu. Kemudian, dia tanpa berlengah terus mendapatkan seorang 'Hajj'(mungkin orang besar) yang berniaga sekitar itu. Dia menceritakan kejadian yang berlaku dalam bahasa ammi(pasar) agar maklumat mudah difahami. Orang-orang sekitar itu pun mengiyakan kejadian aku berebut duit dengan budak-budak tadi. Dua tiga orang mula berkumpul di situ.

Hajj itu terus menarik tanganku lantas berkata "Mari ke Balai.." Kebetulan balai polis ada berdekatan di situ. Aku pun mengekori beliau bersama dua orang pemuda arab, mulutku berkumat kamit berselawat menenangkan hati. Setiba di hadapan balai, kedua-dua itu merikuk di depan pintu balai. Aku terus beriaksi menunjuk ke arah mereka. " Ini mereka berdua!!"dengan suara yang agak keras.

Dua orang polis berdiri depan balai terus menyoal namaku, asal mana, kemudian berapa jumlah duit yang hilang dan bagaimana boleh hilang. Aku yang bercampur-campur perasaan ketika itu gugup memberikan maklumat. Setelah selesai, mereka memulangkan dompetku. Syukur semua selamat. Aku memanjat kesyukuran tak terhingga. Aku bersalam dengan abang-abang polis itu dan beberapa pemuda lagi yang membantu aku.

Hajj tadi pun aku salam dan cium tangan beliau atas kesudian membantu aku dengn pantas, lalu menasihatiku agar jangan sesekali mengeluarkan jumlah wang yang besar di khalayak kerana kemungkinan kecurian akan berlaku walaupun pada kanak-kanak. Beliau meminta maaf atas kejadian itu dan menyesali perbuatan budak yang mencuri itu.

Aku beredar dengan mengucapkan salam pada mereka. Dalam keadaan yang masih kegugupan, aku menghalakan diri ke Masjid Sidna Hussein. Aku melabuhkan dahiku tanda syukur tak terhingga dan mengucap lafaz tahmid berulang-ulang kali.

Aku berfikir, dalam keadaan kesempitan atas kejahatan seseorang, Allah terus menghantar bantuan melalui orang lain. Aku bermuhasabah sambil menghela nafas panjang.

Keluar dari maqam Sidna Hussein, ada satu majlis ilmu dipimpin seorang syeikh, aku pun singgah duduk untuk menenangkan fikiran dari kejadian yang berlaku sebentar tadi. Sedang mendengar syarahan syeikh, datang seorang lelaki bersama pembatu beliau meminta izin untuk mengedarkan makanan pada hadirin. Hati kecilku mula tersentuh.

Mereka membahagikan makanan berupa roti dan tokmiah. Aku melihat seorang-seorang wajah pakcik-pakcik di situ, hati aku tambah sayu. Sambil dengar syarahan syeikh, mereka berkongsi makanan kepada hadirin yang tak dapat makanan.
Sambil tersenyum, jalur air mataku mengalir membasahi pipi.

Sungguh di kala terjadi suatu peristiwa yang boleh mencalarkan kepercayaanku pada masyarakat ini, Allah tambah menangguh menunjukkan padaku ada insan-insan yang berhati mulia yang akan menampal balik luka tersebut.

Benar Ya Tuhanku. Semenjak malam ini, kecintaan aku pada rakyat Mesir makin bertambah mekar dan berkembang.

Syukur pada Mu kerana menunjukkan kepadaku kuasa dan hikmahMu.

Hamba yang hina,
Masjid Sidna Hussein,
Hussein.
20/8/17.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari