Ulasan Buku #1

Review Buku ‘Intisari Peradaban Islam’[ Al Kamīn Fil Hadarah Al Islamiýah] Maulana Ad Duktur Nuruddin Ali Jumaah.

Pertama sekali, kenapa saya memilih untuk mengulas buku ini?

Buku ini adalah karya pertama Maulana Ali Jumaah yang saya baca dan membuka minda serta sisi pandang saya secara peribadi terhadap istilah Tamadun Islam.
Selain itu, buku ini merupakan kunci pembuka kepada saya dalam mendalami pemikiran dan idea Maulana Ali Jumaah terhadap Turath(Warisan) dan bagaimana mengimplikasikan dalam dunia Modernisasi.

Sebelum memulakan, saya akan mengunakan istilah panggil ‘Maulana’(Guru yang kami muliakan) untuk merujuk kepada penulis sebagai satu implimentasi adab kepada beliau.

Baik, buku ringkas ini adalah satu kesimpulan bersepadu yang ditulis bagi membenarkan pembuktian-pembuktian tentang kewujudan sebuah tamadun yang diberinama Tamadun Islam, unsur atau teras utama Tamadun Islam, serta beberapa persoalan berkaitan dengan solusi yang boleh kita sama-sama gapai.

[Bahagian pertama]

Maulana memulakan perbahasan dalam buku ini dengan membawakan elemen-elemen pembuktian sejarah yang membuatkan kita menyifatkan Islam sebagai suatu tamadun yang wujud dan tersebar seantero dunia raya.

1. Jika kita meneliti sejarah, kita tidak akan
menemuai sebarang bentuk jenayah penjajahan oleh Tamadun Islam iaitu (penguasaan terhadap wilayah tersebut kemudian hasil mahsulnya dibawa ke negara asal demi memajukan negara mereka lalu meninggalkanya negara yang dijajah papa miskin) seperti yang dilakukan British dan Belanda. Dan kita lihat wilayah Hijaz(semenanjung arab) tetap miskin walaupun penguasaan wilayah Islamnya tersebar luas dua pertiga dunia.

2. Sejarah membuktikan lagi kita tidak pernah melakukan penghapusan etnik sepertimana berlaku pada kelompok Red Indian dan etnik di Tasmania,Australia yang direkodkan etnik tersebut dibiarkan mati dan tidak diberi bantuan kerana penyakit cacar sehingga bangsa mereka pupus pada tahun 1830 masihi (Roots:the Saga of America Family). Berbeza tamadun islam di era pemerintahan Sultan muslim di India, penganut agama hindu diberi kebebasan mengamalkan agama dan dihormati hak-hak asasi mereka.

3. Sejarah Islam juga memperlihatkan pemartabatan nilai kepimpinan wanita apabila lebih 90 orang wanita telah menjawat jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam sepertimana berlaku pada pemerintahan Dinasti Ayyubi yang diketuai Umm Khalil pada tahun 648 hijrah.

4. Tatkala itu, kita dapat lihat Tamadun Islam sangat terkehadapan dalam aspek kesenian dan kesusasteraan yang memiliki stail dan imej tersendiri dalam menonjolkan sifat ketamadunan tersebut. Antaranya, seni khat arab yang memiliki keunikan dan mnyepadankan nisbah ciptaan Tuhan dengan formula (Golden Ratio) yang dibuktikan Ibnu Muqlah. Beliau membawa rasional supaya Al quran perlu ditulis dengan khat yang kretif dan unik. Sehingga kini kita dapati tiada satu tulisan pun yang dapat menandingi seni khat arab yang di dalamnya ada nisbah ketuhanan yang agung.

5. Di pembuktian terakhir, Maulana membawakan keistimewaan Tamadun Islam yang lahir daripadanya ilmu-ilmu yang tiada tolak bandingnya seperti ilmu Usul Fiqh dan ilmu Periwayatan (Hadis) yang tiada semisal pada zaman sebelumnya dan selepasnya. Di kala zaman moden Tamadun Barat menyusun suatu Ilmu dinamakan 'Hermeneutika' iaitu suatu disiplin ilmu untuk memahami kitab atau teks secara lahiriah atau literalisasi yang kemudiannya dicerapkan untuk memahami Bible, para ulama Usuliy memperkenalkn Ilmu Usul Fiqh yang jauh lebih mendalam perbahasannya, bukan sekadar alat untuk memahami Nas-nas Al Quran tetapi (suatu ilmu  yang dapat dijana dalam memahami apa jua teks secara pre-text , falsafah bahasa dan juga context dari segi kefahaman hal ehwal penutur dan yang induvidu diperdegarkan tuturan itu). Masyallah,sangat ajaib!

Ini adalah beberapa pembuktian yang dibawa tentang bagaimana suatu tamadun yang dibangunkan atas ekstansi Islam membawa suatu paradigma yang unik dalam peradaban manusia.
Maulana Ali Jumaah sangat terkenal dengan perincian maklumat, variasi info, serta penghubungkaitan antara maklumat secara tersusun dan semantik.

[ Bahagian kedua]

Dalam bahagian kedua ini, Maulana menyimpulkan disebalik ketamadunan yang gah dan unik ini intipatinya adalah insan. Tetapi Insan yang diekstrakkan dalam tiga unsur:

1. Mengimani Tuhan yang Maha Rahman.
Persoalan,apa kesan elemen mempercayai serta meyakini Tuhan yang Maha Pengasih dalam membina sebuah tamadun yang berinteraksi dengan alam?

Maulana memberi penjelasan bahawa sistem pembelajaran tauhid kita, membina satu keyakinan bahawa Maha suci Tuhan dari bersatu dengan makhluk atau satu juzuk dengannya. Hal ini supaya satu juzuk dari alam tidak akan menjadi kudus seakan kekudusan tuhan yang menghalang kita dari berinteraksi dengannya.

Inilah akal seorang muslim yang membanting tulang, tekun dan penuh etika mengimarahkan, mendirikan, dan meninggalkan bumi ini dengan penuh rasa Ehsan dan Rahmah yang terinspirasi dari nilai-nilai Rububiyat. Inilah rahsia yang
terkandung dalam Ketamadunan Islam.

2. Mengimani manusia

Mengimani manusia adalah salah satu rahsia bagaimana terbangun nya suatu peradaban yang mampan. Falsafah dari Syair ringkas “ As-Sajid Qabla Masjid” mentuntaskan bahawa peranan Islam dalam membina jatidiri induvidu, segala yang diperlukan isi rumah harus dipenuhi terlebih dahulu sebelum mengejar unsur materialistik iaitu bangunan walaupun ia melibatkan Masjid yang sangat sinonim dengan Islam. Maulana menegaskan tiada guna membina masjid yang semegah-megahnya tetapi kualiti personalitinya masih longgar! Ternyata Insan lebih agung dari binaan.

Selain itu, seorang insan juga mengimani unsur-unsur ketekunan, bersungguh-sungguh, melahirkan induvidu dan ilmuan yang sangat menakjubkan seperti yang diceritakan Abu Al-Wafa Ibnu Aqil yang mengarang sebuah kitab besar diberi nama Al-Funun yang mencapai 800 jilid dan tidak dapat dijumpai penulisan sebesar itu di mana-mana zaman sebelumdan selepasnya.

3. Mengimani interaksi dengan alam

Kaum Muslimin yang dipenuhi dengan sisi pandang ketuhanan yang rahmah mempercayai alam ini bertasbih. Cuba bayangkan setiap objek , kayu, tingkap, dinding, daun, kesemua makhluk ini bertasbih kepada Allah, maka bagaimana seorang Muslim akan mengkasari serta merosakkannya. Interaksi dengan haiwan juga menjadi suatu yang ajaib ditunjukkan oleh kaum Muslimin yang mana direkodkan terdapat satu tempat yang disediakan kerajaan di zaman Dinasti Uthmaniyyah untuk binatang memimum air bermula setinggi binatang seperti kuda hinggalah serendah kucing.

Apakah rahsia membentuk pemikiran seorang muslim sehingga dapat mencernakan hasil-hasil perbuatan yang merentas sifat kemanusian yang biasa ini?

Inilah rahsia dalam Tamadun Islam.

Selain itu, Maulana membuka suatu lapangan pemerhatian baru dalam menganalisa dan memahami alam. Seperti mana yang dibawakan oleh Imam Ibnu A’rabi dan Imam Fakr-Din Al Razi pengkelasan Kitabullah Al Manzur(Kitab Allah yang dilihat) dan Kitabullah Al Masthur(Kitab Allah yang tertulis) menunjukkan jalin erat antara Wahyu dan Sains tidak pernah ditinggalkan oleh kaum Muslimin. Kitabullah Al Manzur iaitu alam menjadi dalil penting dalam melihat kehebatan Tuhan yang dibuktikan dengan kajian saintifik dengan selian dari kerangka Al Wahyu (Al quran) menjadikan kaum muslimin melihat alam dari perspektif yang lebih luas dan mendalam dari bangsa lain. Tak berlebihan mengatakan sisi pandang inilah membentuk ketamadunan umat Islam yang tiada tolok bandingnya.

[Bahagian Akhir]

Di bahagian akhir,Maulana Ali Jumaah membangkitkan persoalan penting yang menjadi pati dalam buku ini, iaitu apa yang berlaku kepada ketamadunan Islam yang kita bincangkan panjang lebar tadi? Adakah sedang tidur atau telah mati?

Maulana menegaskan tamadun Islam sedang tidur dan tidak mati. Tamadun yang mati seperti tamadun Firaun yang hilang bahasanya, hilang kepercayaan anutnya, hilang sudut pandang alamnya. Tetapi tamadun kita, masih kekal hidup, malah sentiasa berkembang hari demi hari . Dengan nama Muhammad tak pernah lekang disahut serata dunia setiap kali waktu azan, nama Muhammad juga tersenarai nama paling popular dalam penamaan bayi baru, maka ummat ini dalam keadaan tidur dan bukan sekali kali mati.

Maka apakah solusi yang boleh kita kecapi bersama?
Maulana Ali Jumaah menjawab persoalan ini,tidak lain tidak bukan adalah“Pendidikan” dan bukannya dengan jalan lain. Hanya pendidikan dan keilmuan sahaja yang dapat mengerakkan ummat yang masih lena dan tidur ini dan ia menjadi satu-satunya solusi yang ada dan perlu disepakati serta dibangunkan bersama-sama oleh semua umat Islam agar ketamadunan yang kita pernah kecapi dahulu kembali gemilang dan bukan sahaja menjadi lipatan sejarah yang mensia-siakan.

Sekadar ini sajalah ulasan saya berkenaan buku ini. Mungkin ada terdapat kesalahan pengunaan kata, ataupun kesilapan info,saya mohon maaf.
Sebarang teguran dan nasihat serta penambahbaikkan sangat dialu-alukan.

Al faqir Muhamad Hakim bin Ismail
Mahasiswa Kuliah Usuluddin, Uni Al Azhar.
Tholib Al Ilm Al Azhar Asy-Syarif.
Kaherah,Mesir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari