Istana Kebaikan

"Apa faedah dakwah pasai cintan cintun ni, geli lah aku.."

"Takkan nak qasidah-qasidah ja..kenapa tak lawan kezaliman.."

"Orang-orang haraki ni, bersemangat ja lebih tapi ilmu tarak!!"

"Geng talaqi ni mengaji ja tau, tak turun lapangan langsung!!"

"Tengok pencetus ummah tu, gila glamour ja tu.."

"Tak faham lah geng baca buku ni, jadi ulat buku ja, tak beraktivis langsung.."

"Orang aktivist ni semua benda nak tunjuk baik ja tolong orang, selfie pulak tu.."

"Tengok depa tu..perjuang melayu ja, rasis.."

"Depa tu pulak..berbaik-baik orang non muslim, munafiq"

Dialog-dialog inilah sentiasa meniti di bibir mugil kita di saat kita berseteru dengan kawan-kawan kita yang berada di wadah yang lain.

Ya. Aku juga sering dipukul-pukul bisikan-bisikan demikian dari zaman aku di bangku sekolah menengah hinggalah sekarang, di kala aku menulis coretan ini.

Realiti yang berlaku sekarang sangat menjerut salur nafas kita dalam melayani zaman ledakan maklumat (atau zaman ledakan kebodohan seperti dikatakan Syed Hussein al-Atas) di mana masing-masing bercakaran sama sendiri, padahal kita semua dalam perjalanan menuju matlamat yang sama. Iaitu Kebaikan.

Kebaikan itu ibarat sebuah istana yang diimpikan semua orang, tapi jalannya banyak, ada yang jalannya tegak, ada yang jalan sempit, ada jalan berduri, ada jalan dihiasi bungaan, ada jalan pintas, ada jalan curam, ada jalan berbukit.

Ia hanya jalan, jalan yang kau lalui tak akan sama dengan jalan yang orang lalui, jika jalan kau penuh cabaran untuk meninggikan kebaikan, jangan kau cerca orang yang mendapat jalan yang mudah untuk tujuan yang sama.

Sebab apa? Sebab kau yang memilih jalan itu!

Jika kau pula mendapat jalan tegak dan awal sampai mencapai kebaikan, jangan sesekali bermuka masam dengan orang yang sampai lewat, kerana kau mungkin tak tahu apa dugaan yang dia hadapi sewaktu perjalanan dia ke sana.

Sama jugalah jika kau melalui jalan yang dihiasi persona bungaan, buahan lazat sepanjang jalan, kau kutip perhiasan itu, kau kendong sampai ke istana, tapi ada kawan kau sampai ke istana dengan kaki penuh luka, duri melekat sana sini. Jangan pandang sebelah mata, papah kawan itu dan ubati lukanya, dan kau yang terluka jangan sombong seakan kau wira kerana berkelana di jalan yang penuh mehnah dan mencemik kawan kau yang melalui jalan berbunga itu.

Terima bantuannya dengan dada yang lapang, dan jangan lupa, kau sedang sakit!!

Begitulah di dunia hakikat, kita tak kan menang tangan kaki untuk libatkan diri dengan semua benda. 
Biarlah para ustaz cinta ini menyebarkan kebaikan pada muda-mudi yang perlu sentuhan lembut dan santai, yang susah dibuat oleh ahli akademik. Biarlah orang haraki terus bersemangat dengan agenda mereka, kerna silap-silap dikala orang talaqi perlu bantuan, mereka yang akan cepat sampai. Biar juga lah orang talaqi sibuk dengan ilmu mereka kerana mereka adalah aset bangsa dan negara untuk membangun masyarakat kelak. Biarlah orang Idealist terus memikirkan solusi-solusi yang orang aktivist terlepas pandang manakala para aktivist terus menabur bakti kepada gelandangan dalam masa yang sama merujuk para ahli akademik ini agar aktiviti yang dijalankan berfungsi dengan baik.

Sahabat. Satu sahaja solusi untuk kita sama-sama me'reset' minda kita agar kita menerima kepelbagaian dalam menuju kebaikan. Iaitu keluar dari kepompong kumpulan kita dan berinteraksilah dengan kumpulan yang lain. Jika malu dan segan untuk mendampingi mereka, duduk bertempek sekali sekala, pasang telinga lintah, fahami metodologi gerakan mereka, cari titik temu dengan manhaj yang kita bawa dan jika memang ada pertembungan tak dapat dielak,bersangka baiklah kepada mereka. Ini bukan satu-satunya penyelesaian, tapi salah satu yang aku pikir akan membantu menyelesaikn konflik ini.

Setakat ini sajalah coretan hematku setelah lama menari-nari di kotak zihin ini. Semoga memberi manfaat pada kalian dan juga diri ku.

Sama-sama mencapai kebaikan!

21/11/17
Atas Bas 24ج,
Hayyu Sabiek.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari