Edisi Khas : Bukan Sekadar Menyambung Tahun

* Artikel ini aku tulis pada tahun lepas untuk mentasyi' adik-adik junior untuk terus menyambung tahun di Kolej Islam Kg.Jawa. Bagiku jalan yang aku tempuhi dulu adalah jalan denai yang sama dilaluai oleh generasi-generasi terdahulu dan sekarang ia bakal dilalui oleh generasi-generasi dibawahku pula.

Naskhah pendek ini aku nukil dan dedikasikan kepada kalian semua untuk kembali menilai apa misi dan visi yang penting tapi terpinggir di benak lubuk jiwa kalian dan memberi suatu jajahan persepsi lain selama  meng'infak'kan diri kalian lagi dua tahun di sana.

Tidak lain tidak bukan dalam melaksanakan visi keilmuan.

Selamat membaca dan menilai.

BUKAN SEKADAR ‘MENYAMBUNG TAHUN’


Bismillahiwamanwalah..

Ucap syukur serta redha aku panjatkan ke hadrat tuhan. Tuhan maha kaya dengan sifat Rahman dan Rahim keatas ciptaannya,Maha Perkasa ke atas  kedhaifan makhluknya, Maha Bijaksana atas kedangkalan hambanya, Maha Karya segala kasih dan cinta. Tiada rasa bertuah aku rasakan disaat ini melainkan menjadi kuli dan hamba mu,menjadi pengabdi sujud kepadamu, dan menjadi serpihan jasad yang berjuang atas jalan agamamu.

Selawat dari benih rindu tidak tertanggung keatas junjungan mulia, mengenagkan sekujur jasad indah,indah dengan rupa dan akhlak peribadinya, menyatukan hati-hati yang cinta kepada kemuliaan peribadi dan sisip agungnya. Pemilik tubuh itu adalah Sayyidina Muhammad,kekasih Tuhan Jalla wa A’la,tetapi rendah hatinya sebagai anak yatim yang rindu akan ummat yang melupakannya.
  
Pertama sekali, penulisan ini bukanlah sebagai suatu bahan jualan dan bahan komersial serta dijadikan baris kata dan bait syair untuk dialun dan didendangkan, tetapi hanya sekadar nukilan pembuka minda, penyentap jiwa,dan perkongsiaan nyata agar  daku dapat sampaikan sekadar mana buah fikiran dan cebisan pencerahan tentang beberapa perkara penting dengan tajuk diatas.

Istilah yang digeruni
‘Si Penyambung tahun’ atau bahasa yang lebih mudah dan lebih popular malah lebih mainstream yang sememangnya familiar dan…..,adalah lebih dikenali sebagai  ‘STAYER’ atau jamak dan pluralnya ialah ‘STAYERS'.

 Secara ringkas, stayer adalah golongan yang menyambung tahun pembelajarannya di kolej islam selama lagi 2 tahun sebagai tingkatan enam setelah menghabiskan pengajian dan menamatkan riwayat musuh paling ketat mereka iaitu peperiksaan SPM.

Daku tidak bercadang mengulas lanjut apa yang dihadapi dan apa yang terjadi sepanjang permusafiran ketika di tingkatan enam kerana penerangannya tidak akan sampai dan tidak efisien untuk diulas melainkan kalian merasa sendiri pengalamannya.

Cuma pertanyaanku kepada kalian ,adakah istilah stayer itu menjadi sesuatu yang kalian takutkan,atau sememangnya kalian menunggu sejak dibangku junior tingkatan empat ataupun  ketika semakin senior di tingkatan lima.?

Secara jujurnya istilah ini juga daku gerunkan dan berazam untuk tidak mendapat gelaran itu ketika mana memakai nametag sebagai junior mahupun ketika senior.

Apa yang sering difikirkan ialah mampukah aku mengalas tanggungjwab serta beban amanah jawatan yang sedia ditimpakan ke pundakku?.

Selain itu, mampukah aku menghadapi situasi getir sebagai super senior di sekolah yang begitu luas dan dalam serta dipenuhi dengan permata indah dan batu karang keras.?

Dan ada lagi tanggungjawab untuk mendidik dan mentarbiah sukuan bilangan masyarakat kolej islam yang berbangsa pemikiran dan berpuak peribadi mereka.?
Jadi inilah persoalan yang timbul dan sememangnya akan terus timbul menimbul di benak fikiran sang senior  untuk melangkah ke alam ‘menyambung tahun’ walaupun yang masih meyimpan hasrat mahupun yang sudah siap bungkusan untuk melepasi sempadan tahun ini. 

Persoalannya benarkah persepsi ini?

Persepsi

Ya….,itu semua persepsi dan tanggapan yang betul dan benar belaka malah akan berlaku pada kalian. Persoalan tentang jawatan, tarbiah, biah solehah, super senior, abang kakak besar, itu semua kalian akan hadapi setelah kalian menyambung tahun di kolej islam. Tetapi  daku tidak berhasrat membicarakan persoaloan demikian kerana ia sudah dibincangkan selalu dan menjadi polemik hampir setiap tahun.

Jadi , disini daku ingin membuka sebuah jajahan persepsi baru yang perlu kalian bina dan sampaikan dan terus bersambungan seberadaannnya kalian berada di kolej islam.

Baik,kata kunci yang ingin daku bawakan adalah berkenaan suatu frasa “Agamawan Pintar”.
Sememangnya nampak poyo frasa yang dibawakan, tetapi inilah persepsi yang perlu mula kita bina khususnya kepada si penyambung tahun agar seberadaan kalian di kolej islam tidak tersisa dengan matlamat yang kabur.

Kembali kepada Sejarah

Jika kita telusuri lipatan dalam kamus sejarah kolej islam, matlamat asal pertubuhan kolej islam adalah sebagai wadah pembina untuk melahirkan golongan ulamak dan agamawan yang boleh berbakti kepada agama islam. Dan inilah menjadi teras pembangunan modal insan di kolej islam yang disepakati ulamak terkemuka tanah air bagi meluncurkan panahan-panahan pelajar yang berintektual tinggi ini bagi mengubah dan mengugah dunia dengan ilmu dan jati diri yang kukuh.

Masakan kata-kata antara pengasas kolej islam ini tidak dapat dijadikan dalil akan pentingnya institusi keagamaan ini di tanah air kita.

“Jatuh bangunnya Islam di Malaysia adalah berkait rapat jatuh bangunnya Islam di Kolej Islam”                               
– Almarhum Dr.Zulkifli Muhamad-

Susunan kata-kata yang ringkas dan penuh tersirat makna yang mendalam. Kata-kata ini juga merangkumi segala gerak kerja pendidik yang mempunyai matlamat dan visi yang jelas tentang hadiah apa yang mereka perlu sumbangkan kepada masyarakat marhaen yang kedahagaan ilmu agama.

 Jadi,jika kita lihat tokoh yang lahir dari kolej barakah ini di suatu era yang ‘perlu dibanggakan’ tersebut adalah dari kalangan agamawan yang bukan sekadar bercakap soal remeh tentang agama, tapi menjadi figura penting dalam mendidik dan membimbing masyarakat, serta menjadi obor perkasa dalam jasad ummah yang lemah longlai.

Siapa mereka tidak perlu kuungkapkan disini, kalian pun sudah serba maklum akan kehadiran jasad dan roh mereka sebagai murabbi ummah di zaman langit terbuka ini. Tapi, kalian perlu sedar dan tahu,mereka-mereka itu lahir dari suatu zaman keemasan kolej islam dimana matlamat dan visi misi  kolej dipegang kukuh oleh pengendali dan pentadbiran serta watak-watak pembentuk mereka. Meraka dididik oleh tangan dan minda para ulamak yang turut mengambil alih sebagai ibu dan bapa serta guru mereka.

Jadi,sejarah dah membuktikan kolej ini pernah menjadi gudang simpanan cendiakawan dan ilmuan islam,mereka digilap dan ditempa  dan akhirnya menjadi pendidik bagi ummah di zaman mereka kelak.

Zaman kita
Ya…zaman sudah berubah..kita ( daku dan kalian) berada di suatu zaman ‘mengigit’ yang mengetap masa dan kenikmatan hidup di kolej dengan rakusnya. Zaman kita adalah zaman ‘exam oriented’ dan zaman mengejar kedudukan rangking akademik dalam senarai sekolah terbaik di Malaysia. Tidak dinafikan kejaran ini juga ada kebaikkannya dalam urusan kejayaan kita di masa hadapan, menjadi sang mahasiswa yang terperangkap dalam penjara universiti dan menjadi objek keluaran kilang akademik.

Yah..inilah ‘gigitan’ yang kita rasakan sekarang.

Dan inilah punca dimana matlamat kolej yang sudah dipasak kukuh oleh para ilmuan dan ulamak setelah sekian lama telah perlahan-lahan dihakis oleh sistem pembelajaran yang kita hadap sekarang.

Masa-masa tafaquh fiddin sudah diganti dengan kelas tuisyen, masa membaca quran ditukar dengan menghadap buku chemistry dan biologi, masa mendengar kuliah disandang oleh program-program akademik yang bercambah. Hah,inilah relitinya sekarang dan ini tidak berlaku zaman ketokohan kolej islam dahulu,dan ia berlaku pada zaman kita.

Matlamat melahirkan ulama sudah dilupakan dan sebahagian mengaggap bahawa matlamat dan visi ini adalah tidak relevan dan ketinggalan jika berlari di arus deras permodenan sekarang. Title ‘engineering’, ‘medic’, ‘pharmacy,’accoutant’ menjadi buah mulut pelajar lepasan kolej untuk bidang apa mereka akan hadap dan telan di university kelak kerana title ini menjadi kegilaan dan kejaran manusiawi di luar sana.

Berbeza jika kita telusuri pemikiran para graduan kolej islam dahulu yang kebanyakan menyimpan hasrat untuk menjadi ilmuan islam yang perkasa dan dapat membawa arus ilmiah di jantung masyarakat.

Walaubagaimana pun sahabat,ini bukan salah pentadbir,bukan salah pelajar,tapi ini adalah situasi ‘mangsa keadaan’ yang memaksa dan dan menekan untuk semua ini berlaku dan terjadi.


Paradigma yang perlu diubah

Baik sahabat,dasawarsa ini, generasi kita sering dihidang dengan kenyataan ;

“ Jadilah engineer,tpi engineer yang ada basic agama,jadilah doctor,tpi jadilah doctor yang tahu agama,jadilah architect tapi berlatarbelakangkan agama…”

Yah..tidak dinafikan ini juga,falsafah ini juga membawa satu indicator terbesar dalam melihat pencapaian seorang lepasan kolej islam sekarang. Banyak lepasan kolej islam yang memegang jawatan-jawatan besar di bidang korporat,mahupun kerajaan,dihormati dan disanjung di atas keterlibatan mereka dalam bidang professional diadun dan disulami dengan pengetahuan agama yang serba sedikit membawa satu watak islamik dalam kancah masyarakat yang pelbagai. Dan ini juga menjadi asset terbesar untuk para graduan ini mendapat tempat dihati masyarakat dan diangkat menjadi tokoh dari kalangan mereka.

Tetapi persoalan yang ingin kubangkitkan adalah,cukupkah pengetahuan agama yang sepatutnya menjadi teras dalam soal keilmuan dan pencapaian perlu disukat dahulu sebelum yang lain-lainnya datang kemudian. Adakah agama hanya dijadikan sebagai basic dalam kehidupan pekerjaan? Adakah hanya berjaya dijadikan sebagai ilmu yang sekadar’tahu-tahu’ dan dijadikan hanya sebagai penata rias latar belakang seseorang?

Padahal para graduan kolej islam mempunyai pengetahuan ilmu agama yang kukuh sewaktu di kolej. Didedahkan dengan kemanisan tarbiah, meresap kesegaran dakwah dan dimandikan dalam kolam biah solehah. Ini semua dilupakan semata mengejar cita-cita yang serba sedikit meminggirkan elemen-elemen tersebut.

Jangan melihat persoalan ini sebagai persoalan yang jumud dan ketinggalan. Ini adalah membuka ruang minda kita agar kita dapat menilai dimana kita meletakkan agama itu sendiri dalam penanda aras kejayaan induvidu seseorang dalam kerjayanya.

Sebenarnya sahabat, sebahagian sahaja minoriti sahaja yang dapat dicapai matlamat falsafah 
yang dihidangkan ini,sebahagian besar hanya suam-suam kuku sahaja.

 Ini realiti.

Sebab apa? Ini kerana kebanyyakan graduan sebegini tidak mahu orang mengenalinya sebagai kelahiran kolej islam dengan alasan tidak cukup ilmu, tidak mahu dipanggil ‘pak ustaz’ dalam kalangan pekerja lain, tidak mahu menjadi pembaca doa di majlis keraian dan macam-macam alasan dibina untuk memencilkan diri dalam keramaian pelbagai lapis masyarakat. Berpunca dari itulah,para graduan ini menempuh suatu dilemma yang panjang dalam menentukan watak apa yang hendak dibawa, dan akhirnya menetapkan cukuplah menjadi ‘orang-orang kebanyakkan’ di dalam sector yang mereka tempuhi.  Dan akhirnya,ilmu yang mereka ada hanya berguna kepada diri sendiri sahaja dan tidak dimanfaatkan kepada orang sekitar. Inilah bahana yang akan disaksikan dan diperakuai oleh graduan itu sendiri.

 Disebabkan itulah perbahasan ini dibawa untuk kita kembali kepada asal matlamat penubuhan kolej islam.

“ Melahirkan pemimpin yang bertaqwa dan berintektual tinggi”

Sebaris kata berjuta makna

Peletakkan barisan  kata dalam matlamat kolej islam ini disyurakan dan dibincangkan dengan teliti oleh para ilmuan dan tokoh penubuh kolej islam yang melihat matlamat ini akan menjadi kayu ukur akan produk yang akan dikeluarkan dari bumi barakah ini.
Secara ringkas, kolej islam adalah salah satu ataupun mungkin satu-satunya lubuk emas anak-anak islam yang cerdik berhimpun dibawah satu naungan tarbiah yang teliti dan rapi dan hasil keluarannya diaggap sebagai orang agamawan, orang alim, warak, malah ada yang meng’cop’ pelajar kolej islam sebagai ‘malaikat di bumi’.

Ini realiti yang tak dapat dinafikan,jadi, menjadi suatu kelebihan dimana keluaran para graduan kolej islam akan membawa satu nafas baru kepada masyarakat dimana sahaja mereka dilemparkan  kerana kolej islam secara dasarnya menjadi pengeluar pemimpin yang beriman dan berintektual tinggi.

Persoalannya, kenapa para ulamak meletakkan perkataan ‘bertaqwa’ mendahuluai ‘intektual tinggi’? Inilah dua elemen penting yang menjadi terapi dalam pembentukan watak keluaran kolej islam dan kedua-dua elemen ini tidak dapat tidak,tidak boleh dipisahkan. Para ulamak meletak elemen ‘takwa’ adalah kerana skop pembentukkan seorang pemimpin perlu ditekankan soal ketaqwaan dahulu sebelum yang lainnya termasuklah elemen akademik.  Penerapan nilai taqwa ini melebihi tahap hanya penerapan sekadar beriman semata-mata. Ketaqwaan ini melahirkan suatu jati diri takutkan tuhan melankauai segala aspek lain.

“Sesungguhnya orang yang paling takut di kalangan hambaku adalah para ulamak.”
(Surah Fatir: 28)


Signifikannya disini adalah penetapan ulamak dahulu adalah bagi melahirkan pemimpin agama yang berintektual tinggi. Bagi melahirkan agamawan yang lahir dari kalangan orang cerdik pandai dan juga orang cerdik pandai yang mengambil takwa dan ilmu agama  sebagai senjata utama mereka dalam menempuh dugaan masa yang liar di era ini  Para ulamak mengetahuai bahawa kolej ini adalah tempat berkumpulnya para pelajar yang cerdas otaknya tidak kurang baik syakhsiahnya,oleh itulah para ulama terdahulu berhasrat besar bagi melahirkan gologan agamawan yang lahir dari kalangan pelajar-pelajar pintar ini sekaligus dapat membimbing ilmu agama Allah ini mengikut peredaran zaman dengan efisien dan sistematik.

Ulamak yang professional vs Profesional yang islamik

Sebenarnya inilah menjadi jurang perbezaan diantara kedua-dua frasa tersebut. Ulamak professional adalah suatu frasa mengambarkan seseorang induvidu yang mendalami ilmu agama secara teliti dan mendalam,memahami konsep tauhid,mahir pengurusan soal fiqh,malah hatinya diadun dengan ilmu tazkiyatunnafs dan tasawuf bagi melahirkan hamba yang benar takut pada tuhan. Setelah semuanya telah dilengkapi,barulah terjun kealam ilmu professional, sewaktu itulah benar-benar mengumpul kemahiran-kemahiran ilmu hal yang sangat diperlukan di waktu ini,ilmu biologi,perubatan,ekonomi dan sebagainya.

Soalnya benarkah dan berkesankah teori ini?

Manakan tidak. Daku ingin mengajukan, tokoh ilmuan islam pada abad kegemilangan empayar abasiyah dahulu seperti Ibnu Sina,Ibnu Rusd ,Al-Khawarizmi, Albiruni, mereka-mereka ini dahulunya menjadi ulamak dahulu ataupun menjadi ahli professional dahulu?
Jawapannya,mereka adalah ulamak yang menceburkan diri dalam keilmuan akademik. 

Nah,inilah buktinya para ilmuan islam dahulu,mereka sudah mendalami ilmu agama terlebih dahulu dan hati mereka dekat dengan tuhan,keputusannya keilmuan mereka sangat bermanfaat untuk ummat mahupun ilmu agama ataupun ilmu akademik.

Tidak cukup sekadar itu,daku ingin membawakan contoh yang masih hidup dan sosok tubuhnya masih kuat membawa dan mendokong agama Allah dalam zaman fitnah ini. Beliau yang dimaksudkan ialah Syeikh Al-Fadhil Yusri Hafizullah,beliau merupakan tenaga pengajar Shohih Bukhari di Masjid Al-Azhar,dan pakar hadis terkenal,dalam masa yang sama beliau juga sebagai Doktor pakar bedah di hospital di Kaherah. Disiang harinya mengendalikan pembedahan pesakit,di malam hari mengajar kitab hadis kepada para anak didiknya. Nah ,ini antara figura yang mengangkat nilai islam dalam bidang akademik,kerana apa,setiap tingkah lakunya semasa menjadi doctor adalah jiwanya juga sebagai seorang ulamak,makanya akhlak dan ilmunya mengambarkan islam yang sebenar dalam arena kedoktoran.

Bila dibicarakan ahli professional yang islamik pula, kita sendiri  tak nafikan ada terdapat golongan profesional yang berjaya mengseimbangkan antara kerja mereka dengan ilmu agama. Tak cukup, golongan ini membawa nafas tenaga Islam dalam adunan setiap kerja mereka dan menunjukkan sisi akhlak Islam yang bukan sekadar teorikal malah praktikal dalam terjunan mereka ke dalam lembah professional. Tapi,ada juga sebahagian dari mereka yang sekadar menjadi ilmu agama sebagai modal sampingan dan bekalan tambahan,malahan ilmu akademik pula diangkat dan dijunjung,hasilnya ahli professional ini hanya menjadi ahli professional sekadar ‘biasa-biasa’ tanpa membawa nilai islam dalam bidangnya. Malah tidak ada timbang bezanya diantara ahli professional yang tiada latar belakang agama  dan yang langsung tiada pegangan agama dalam jiwanya.

Ini adalah sisi lain yang ingin kubuka untuk kalian mendahulukan ilmu agama terlebih dahulu sebelum menempuh dunia dan ranjau ilmu professional yang sangat ganas dan amat memerlukan jati diri dan pengetahuan agama islam yang menyeluruh.

Maka jadilah kalian ulamak yang mahir ilmu kedoktoran, ulamak yang tahu selok belok ilmu ekonomi,ulamak yang cekap pengurusan kewangan dan pelbagai bidang yang memerlukan golongan agamawan membimbingnya dengan jalan syariat dan memapah tangan ummat yang sudah lumpuh.

Agamawan Pintar

Selesai perbincangan tentang martabat ilmu agama yang perlu diberi perhatian melangkaui ilmu lain. Sekarang,kita bergerak ke isu utama seperti apa yang kua usulkan sebelum ini.
Istilah ini lahir dari inspirasiku dari junjungan besar,Nabi Al-Mustofa yang juga mempunyai dan dihiasi sifat wajib baginya iaitu Al-Fatonah. Nabi Muhammad yang merupakan insan mulia diutuskan Allah kepada ummah yang membawa agama Allah mempunyai kecerdikkan yang tiada tolok bandingnya. Ini bermakna manifestasi kecerdikkan amat diperlukan oleh orang yang bawa agama Allah ini.

Lihat pula para sahabat nabi (radiallahuanhum),mereka terdiri orang yang cerdas pemikiran,bukan sekadar membuta tuli menghafal ayat quran,hadis nabi dan kemudian memuntahkan hafalan mereka,bahkan mereka orang yang pakar menghurai,mengaplikasi ilmu,menrasionalkan ilmu-ilmu dengan menjadikan ilmu agama ini segar lagi rahmat.

Berturut juga a’lim-a’lim ulama,bergerak dari zaman ke zaman,yang tercatat, semua pembawa agama Allah ini lahir dari orang cendiakawan yang sangat unik dan hebat hafalan dan pemikiran mereka sehingga nilai ilmu islam dianggkat dan agama islam menjadi tinggi dek kehebatan pengamal dan pendokongnya. Tidak cukup kehebatan para ulama hadis,ulama tafsir,ulama fiqih,ulama aliran mazhab. Allahurabbi, kita dah serba tahu dan membesar dengan cerita-cerita kehebatan dan kecerdasan minda mereka dalam memimpin ilmu agama Allah yang mulia ini.

Jadi,ikon-ikon inilah menjadikan nilai ilmu islam dipandang tinggi seantero dunia malah 
sepelusuk desa mengetahuai kehebatan ilmuan islam. Ilmu agama Allah ini memerlukan insan yang diberi kurniaan Allah dengan kepandaian,kecerdikkan dan kepintaraan kepada mereka untuk menghurai,memtajdid ilmu islam ini dengan landasan quran dan sunnah dengan lebih efisien,rasional dan terkehadapan dalam membimbing ummat. Sebab itulah orang cerdik pandai ini harus menceburkan diri dalam keilmuan islam agar penghuraian mereka lebih teliti,lontaran idea mereka lebih bernas,dan penyelesaian masalah ummah boleh diselesaikan dengan lebih tepat.

Berbanding jika ilmu agama islam ini diambil ahli orang atau golongan bawahan yang lemah ingatan, kurang cerdik, minda meracau dan akhlak ke laut. Perbincangan-perbincangan ilmu-ilmu islam hanya dibuat ala kadar dan lepas tangan dan sekadar menunaikan kerja yang diberikan. Ini juga memberi kesan yang berpanjangan kepada kedudukan dan martabat ilmu islam itu sendiri diletakkan diminda kelas bawahan,malah minda kelas atasan berebut mencanang ilmu akademik yang sepatutnya diberi perhatian kedua.
‘Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya..”


Ilmu Islam disemborono

“Kamu dapat berapa SPM?”
“ 11A”
“Oh..amik medic ka engineering?”

“Kamu dapat berapa SPM?”
“2A”
“Oh..amik Usulludin ka Syariah?”
“Oh..ka nak masuk tahfiz?”

Inilah dialog cliché dan polemik yang kita hadap tiap kali selepas mendapat keputusan apa-apa peperiksaan pun.

 Hah ,kalian pun mengakuainya.

Jikalau ia tidak berlaku dari kalangan kalian,percayalah inilah mind-set masyarakat dan ibu bapa para pelajar di segenap lapisan masyarakat. Ilmu agama islam hanya diberi kepada golongan yang berfikiran atau otak kelas bawahan,dan pengambilan kos pengajian islam hanya menjadi pilihan terakhir selepas kesemua tawaran kos yang dikehendaki dan difikirkan baik itu terlepas.

Selain itu,sekolah-sekolah agama juga menjadi tempat buangan pelajar bermasalah,yang nakal,yang ganas, buas, kaki ponteng, tak nak belajar, akhlak buruk, merokok, semuanya dilemparkan ke sekolah agama. Seolah-olah sekolah agama atau tahfiz ini adalah mesin basuhan untukk membersihkan anak-anak mereka. Jadi kesannya, orang yang mengambil pengkhususan bidang agama ini adalah dari golongan-golongan yang sedemikian. Sedangkan yang pelajar-pelajar yang cerdik, yang berakhlak, sopan, beradab, semuanya dihantar ke sekolah yang aliran akademik. Manakan tidak kita lihat banding tara ini antara penampilan atau impression orang agamawan dan orang professional mempunyai jurang perbezaan yang amat ketara. Mahupun dari segi ilmu penguasaan,ataupun dari segi akhlak syakhsiah. Kalian juga dapat bezakan.

Teringat kata-kata seorang ustazah sewaktu pensyarahannya di dalam kelas.

“ Kalau kamu pergi Universiti,kamu lihat mahasisiwa yang merewang, gelak terbahak-bahak, meja kuliah dilangkau-langkau, maka ditanya kamu dari kos mana? Dia menjawab “Saya dari kos syariaah..”

“tapi bila kamu lihat sekelompok yang sedang belajar,akhlaknya tertib,selalu datang kelas awal,bila ditanya kamu dari kos mana?.Dia akan menjawab “ Saya dari kos ekonomi.”

Nah,lihatlah sendiri manifestasinya. Walaupun bukan semua berlaku macam tu, tapi percayalah sebahagian besar di universiti berlaku sedemikian rupa. Manakan tidak golongan agamawan yang lahir dari situasi begini sendiri akan merosakkan nilai islam itu sendiri.


Jenayah kopiah putih

Kita mendarat pula di destinasi masyarakat sebenar di luar sana. Lihat sahaja title sudah tentu kalian terfikir apakah yang ingin disampaikan. Suatu musim dahulu,kita biasa digemparkan dengan ‘jenayah kolar putih’ dimana membawa maksud,jenayah atau perilaku buruk yang dilakukan oleh golongan atasan atau golongan yang berpangkat. Jenayah ini menjadi sensasi kerana penipuan dan jenayah itu dilakukan dengan jumlah yang lebih besar, perbuatan yang lebih kejam, tapi ia terselindung disebalik kaburan nilai pangkat dan kelas-kelas yang penjenayah itu serba duduki.

Tetapi sekarang,tercetus pula satu lagi istilah ‘jenayah kopiah putih’ yang ,mana melibatkan golongan agamawan. Sebesar-besar jenayah sehinggalah ke perlakuan buruk kebanyakkan datang dari golongan yang digelar ‘ustaz’,’tok imam’ dan beberapa lagi title yang masyarakat berikan kepada oarng yang mengaji agama. Jenayah yang mereka lakukan terlindung dek kopiah putih bersih yang tersangkut megah dikepala mereka sedangkan hati dan pekerti mereka gelap dari sinaran cahaya ilmu.

Dari sisi lain pula, perilaku buruk serta longlai seperti pengotor, pemalas, ponteng kerja, tak tepati masa, mandom, selekeh, buat semberono yang dilakukan pelaku yang bergelar ustaz itu telah menzalimi kopiah putih yang ada di kepalanya seolah-olah mengkhianati ilmu agama yang dikendongnya.

Allahu rabbi..yah..inilah yang berlaku disaat ini,kalian pun sendiri nampak perkara ini berlaku di sekeliling kalian walaupun tidak semuanya begitu.

 Puncanya apa?

 Ini lah kesan dari ilmu agama yang disemboronokan dan di anak tirikan oleh masyarakat dan diserahkan pengendalinya kepada golongan kelas bawahan.
Mungkin kalian bertanya adakah daku memperlekehkan golongan kelas bawahan. Tidak sama sekali,golongan kelas bawahan tidak semestinya tidak pandai dan bukan mereka tidak ada tempat dalam bidang pengajian agama islam,tetapi apa yang daku ingin bawakan ialah sejauh mana kita dapat gapai matlamat meninggikan islam dengan menukar kerangka pemikiran kita bahawa golongan kelas minda atasan juga perlu malah wajib menceburi bidang pengajian agama islam.

Ini Masanya

Sahabat. jika kalian melihat golongan yang membawa ilmu islam yang semberono itu adalah dari lingkungan usia ayah-ayah serta ibu-ibu kita. Apa yang ku ungkapkan sebelum ini,kebanyakkan telah terjadi di era mereka dan hasilnya kita dapat lihat pembawanya di depan mata kita sekarang. Dan zaman dan era kita telah berubah, masyarakat mula celik mata tentang ilmu islam, mereka mula menghargai orang-orang yang membawakan ilmu islam. Jadi, kalian dan daku adalah generasi mutaakir yang akan mengukir islam mungkin dalam masa 10-15 tahun lagi.

Inilah masanya kita merubah ummat dengan kerangka wahyu.  Jadikan kecerdikan dan kepintaran kalian sebagai modal besar untuk membawa ilmu pengajian Islam ke tempat dan martabat yang tertinggi. Agama islam ini perlukan ramai lagi penuntut ilmu yang cerdas ,berakhlak baik dan punya jati diri yang kukuh untuk mengangkat kembali agama islam dengan keilmuan yang mampan di waktu agama islam dicerca dan dilempar batu oleh puak secular dan liberalisme. Islam perlukan tokoh-tokoh ilmuan islam yang baru bagi menandingi keparat-keparat golongan menghina agama Allah dengan akal mereka agar mereka tunduk sujud atas kehebatan Islam dan Allah sebagai penguasa alam.

Kesimpulan

Berpandukan tajuk yang diatas~ ini, daku ingin membuka minda kalian dalam memahami konsep matlamat kesedudukan kalian di kolej islam sebagai si penyambung tahun adalah matlamat yang panjang dan luas bukan sekadar komuniti dalam kolej islam,tetapi sebagai sebuah hadiah yang bernilai kepada masyarakat kelak. Daku juga ingin menculik pemerhatian kalian untuk meneruskan pengambilan dan mendalami pengajian ilmu islam secara serius dan tertib kerana kalian dan daku sendiri adalah asset terbesar agama Allah ini dalam membawa arus baru di era kita nanti.

Persoalnnya,kenapa daku kaitkan semua ini dengan ‘Stayer’?

Ini kerana dalam penyambungan tahun itu ada aliran pengajian STAM untuk kalian meneruskan pengajian ke Al Azhar di mana disana kalian akan mendapati lubuk pengajian islam terdapat disana. Tidak kurangnya jugak aliran STPM yang juga amat menitik beratkan soal pengajian islam.

Khulasah kalam,sesungguhnya daku tidak berharap kalian menerima bulat-bulat atas apa yang kusampaikan ini,jadikan ia sebagai suatu pencelikan yang baharu ataupun mungkin sebelum kalian sudah terbuka dan hanya perlu digilap pemahaman kalian itu. Barangsiapa yang sudah menyimpan niat untuk menyambung tahun,silakan,dan barangsiapa yang sudah memilih kos kalian masing-masing, teruskan,jangan berpatah balik. Terus bermatlamat untuk menyumbang dan berkhidmat untuk agama Allah ini dengan kebolehan dan kehebatan kalian sendiri dan jangan sesekali kalian lupa walaubagaimana pun  kalian berada di muka bumi ini,sesungguhnya kalian dan daku sendiri adalah A’bid serta makhluk Tuhan Rabuul Jalil.

Promote terakhir:
“ Jika ada unik ketujuh di KISAS,unik itu adalah stayer..”

Daku menutup kalam ini dengan sebaris kata dari firman tuhan:
“Maka beristiqamahlah dengan apa yang kamu diperintahkan..”     (Surah Hud;112)

Wallaua’lam bis Sawwab….

Penyampai hasrat hati,

Alfaqir Ila Allah Stayer AlBanna,
(2012-2014)       

3/4/15
Kulim,
Kedah.                                                                      
                                                                                              

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari