TANGGAL INI

TANGGAL INI

21 tahun lalu...

Sang ibu berjuang bermatian dengan kudrat separuh nyawa dipertaruhkan untuk membimbing si kecil keluar dari rahim,dunia yang penuh kegelapan ke dunia yang penuh cahaya kehidupan. Jalur linangan membasahi pipi mulus sang ibu dek kerana kesakitan menahan perit,dan debaran menanti kelahiran baru mengisi ruang hidupnya.
Seketika..raungan si bayi kedengaran memecah kesunyian dewan bersalin. Ibu tersenyum.

Abah.
Menitis air mata. Cepat dia usapkan. Kerana. Dia seorang abah,lelaki yang tabah.
Sang abah menerpa anak keduanya merangkap anak sulong lelaki,dia tersenyum. Diusap-usap pipi mulus bayi itu. Terasa bahagia menguasai jiwa kebapanya.

Dibawanga bayi dibalut kain putih itu dipenjuru sudut bilik. Dilaungkan perlahan-lahan kalimah suci tuhan semesta alam,juga nama kekasih tuhan di telinga kecil bayi itu. Jaluran air mata menitis mengiringi laungan azan yang teresak-esak,didakap seeratnya bayi lelaki itu dikucupnya dahi dengan penuh kasih sayang.
Itulah abah.
Bayi itu. Terus berteriak.

Menginjak kealam kanak-kanak. Aku itu membesar. Bersama seorang kakak dan dua orang adik lelaki.
Nakal dan buas. Tulah perumpamaan ringkas tentang kami empat beradik. Ibu kami panggil mak,dan bapa kami panggil abah.
Mak seorang guru. Bukan sekadar guru,tapi Guru Bahasa Melayu. Kepakarannya dalam keilmuan bahasa melayu sangat tidak ada tolak bandingnya.

Abah. Seorang pelukis iklan. Bekerja sendiri dan ada syarikat pengiklanan sendiri. Seorang yang sangat berseni dan sangat halus dan cermat dalam setiap atur kerjanya.

Semasa kami di fasa sekolah rendah. Didikan mak dan abah lah banyak membentuk peribadi kami empat beradik. Bermula menghantar ke sekolah agama rakyat di zaman orang memandang enteng budak sekolah agama,dan mengejar sekolah sains,abah dan mak mempunyai visi yang jauh untuk masa depan anak-anak mereka. Walaupun perlu korbankan wang ringgit,kerana yuran sangat tinggi,dan masa yang banyak menghantar dan mengambil kami empat beradik kerana jarak rumah ke sekolah yang jauh sehinggalah mendepani telahan orang sekeliling akan ruginya hantar anak ke sekolah agama.

Semasa zaman sekolah,mak lah banyak mendidik kami,marah,rotan,berleter,spot check kerja rumah,ajar membaca,hingga sekecil-kecil perkara disiplin mak uruskan kami. Dari awal bangun tidur,solat berjemaah,kemas rumah,kapur kasut sekolah, dengan siapa kami berkawan,keluar main dengan siapa,hingga sampai hukuman kurung diluar rumah mak lakukan kerana balik lewat,semata nak didik kami berdisiplin dengan waktu. Mak seorang guru. Apa yang diajar kepada anak muridnya itulah dia ajarkan dan mahu yang terbaik kepada anak-anaknya.

Abah pula melaksanakan tugasnya mencari rezeki. Seawal pagi kami bersiap hendak ke sekolah bersama mak,abah mula membancuh air milo empat cawan untuk kami, secawan kopi kacip fatimah untuk mak,dan roti bakar untuk kami sarapan. Lepas semua bersiap,abah akan iring ke luar rumah,mak pula hantar kami ke sekolah dan terus ke sekolah tempat mak mengajar. Setelah selesai,abah baru bersiap untuk ke tempat kerjanya,bermula pukul 9 pagi hinggalah pukul 5 petang. Itulah rutin ruji hariannya.
Abah seorang yang tak banyak cakap. Tapi setiap patah katanya sangat mendidik dan berharga buat kami. Kekadang kenakalan kami terpaksa abah tanggung selepas sehari suntuk memanjat bangunan memasang barang,angkut tangga sana sini,berpeluh berjerih semata mencari nafkah untuk keluarga.

Satu sifat yang tertanam dalam jiwa kami empat beradik dari kecil hingga sekarang adalah tidak pernah tinggi suara atau berlawan cakap dengan mak dan abah. Dan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Apabila salah seorang dari kami empat beradik buat salah,keempat-empat akan dipanggil mengadap abah sebagai ketua keluarga dan hakim untuk menjatuhkan hukuman,dan mak sebagai kaunselor untuk menasihat selepas keputusan dibuat. Tapi yang peliknya,bila sang adik buat salah,yang akan dihukum adalah kakak dan abang,kerana tak jaga dan nasihat adik-adik. Yang buat salah juga dihukum,tapi dengan syarat tak ulangi dan wajib dengar cakap kakak atau abang. Kami diberi peluang membela diri,tapi biasalah,semua akan tertunduk. Mengaku akan kesalahan yang dilakukan.

Inilah 'tarbiah'seawal aku dan adik beradikku mula ingin mengenal dunia.

Pabila masuk ke dunia sekolah menengah,masing-masing mula berjauhan kerana sekolah di asrama. Tinggallah mak dan abah berduaan di rumah seperti muda-muda dulu. Sememangnya mereka kesunyian kerana sudah biasa dengan tawa hilai anak-anak,tapi semua berada di asrama menyambung pengajian. Semasa diasrama,kakak lah paling kerap telefon mak dan abah,boleh dikatakan setiap hari dia pasti berjam-jam di pondok telefon asrama,tapi aku dan dua adik laki aku,biasalah,seminggu sekali baru telefon,biasalah anak lelaki. Rindu dihati tapi berlagak macho tak nak telefon mak abah,takut dicop manja.

Mula di peringkat sekolah menengah,pendekatan mak dan abah sedikit berbeza. Kami dilayan macam rakan dan sahabat. Sudah kurang marah,jarang berleter dan sebagainya. Yang paling ketara adalah hubungan kakak aku dan mak. Sejak sekolah menengah sampai sekarang kakak paling rapat dengan mak,sampaikan dia seorang saja yang panggil mak gelaran "Bonda",kami yang lain tak boleh. Hobi kakak aku satu ja,urut kaki mak dan abah. Tak kisah apa keadaan sekali pun,mak dan abah jadi keutamaan,sehingga soal jodoh pun diserahkan sebulatnya pada mak dan abah. Dan kakak juga mewarisi sifat mak,sangat rajin dan ambil berat soal adik-adik. Jika wanita kedua yang aku hormat di dunia ini selepas mak,kakak lah orang keduanya.

Menjangkau usia remaja,abah mula mengajar aku tentang kehidupan sebagai seorang lelaki. Bagaimana,berkerja,bertukang,berfikir cara matang,beradab dan banyak lagi diajarkan sehingga soal mencari pasangan pun abah kongsikan agar aku mendapat teman yang sehebat mak. Itu pesan ringkas abah.
Keakraban aku dengan abah sangat tidak terbatas,dan apa yang aku paling respect sikap abah adalah berpandangan jauh dan tidak segan bertanya. Abah dan mak bukanlah dari latar belakang agama,tapi mereka tahu agama yang boleh cerahkan masa depan anak-anak. Salah satu quote abah sampai sekarang aku ingat.
"Abah tak harap anak-anak abah jadi doktor ka,jurutera ka,boleh baca kitab kat orang kampung jadi lah,pastu ajaq mak ngan abah baca quran.."
Sampai sekarang aku tergiang kalam tarbawi seorang ayah.

Dan inilah wawasan abah dan mak sehinggalah kami semua meningkat dewasa dan semoga cita-cita mak dan abah akan kami tunaikan dengan jayanya.

*********************************

Anakanda mu ini sangat merindui kalian.
Dedikasi buat:

Mak Siti Hahdijah Ariffin dan Abah Ismail bin Ali.

Salam rindu,salam motivasi.

#rinduseoranganaklelaki

6/1/2016,
Darrasah,
Cairo.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari