Backpackers Azhari: Catitan 2

11 Feb 2020
Day 2

2.00 am: Kami berjalan keluar dalam keadaan kesejukan, angin memukul-mukul badan, kami akhirnya ketemu port untuk berteduh, di kaki lima sebuah apartmen. Di situ, kami bentang plastik hitam sebagai alas, kami berehat di situ sementara menunggu jam 5 pagi untuk ke SBB semula. 

3.00 am: Hujan mula turun, tempias air hujan menambah darjah kesejukan menusuk tulang. Aku mula membalut tubuhku dengan ridak, pakai mask dan sarung tangan tebal. 

4.30 am: Sempat lena setengah jam, makan dua keping roti,kemudian kami terus gerak ke SBB semula.

Ketika ini kami berbincang lama samada teruskan perancangan ke Interlaken atau drop sahaja dan terus ke Munich, memandangkan tiket ke Interlaken agak mahal. Setelah berbincang hampir setengah jam, kami decide proceed ke Interlaken sebab itu satu-satunya tempat tarikan utama di Swiss, rugi benar kalau tidak ke sana. 

Tempahan tiket secara online ke Interlaken dapat sedikit diskaun berharga 45€. Kemudian tempah hostel untuk bermalam di sana 103€. 

Selesai buat tempahan, kami terus naik ke platform untuk ambil train ke Interlaken. 

5.15 am: Bertolak ke Interlaken.

7.30 am: Sampai di Interlaken Ost Station. Setiba di sana, aku berasa sangat teruja melihat pergunungan Interlaken Alps tersergam yang dibaluti salji putih. 

8.00 am: Kami mula berjalan kaki untuk cari Balmers Hostel yang kami tempah tempoh hari, cuma kami masih tak tahu lokasi sebenar, dengan bantuan beberapa orang tempatan yang mesra, kami dapat petunjuk ke sana. Dalam perjalanan tu, kami sempat isi perut dahulu, berkelah di taman yang bersih dan indah. Aku makan beberapa keping roti dengan hotdog dan serunding ikan. Berbekal tenaga yang berbaki kami terus berjalan ke hostel. 

8.40 am: Sampai di Balmars Hostel, plan asal kami nak tumpang letak beg saja disebabkan ikutkan check in pada jam 3 petang. Tapi tuah menyebelahi kami, akak yang jaga kaunter tu sungguh baik hati, dia benarkan kami check in awal, dan siap bagi kad pass bas percuma kepada kami. 
Alhamdulillah. 

9.00 am: Check in bilik, semua pakat terjun katil, rasa nikmat keempukan tilam memandangkan dua hari tak letak badan. 
Ada yang terus mandi, ada yang tidur, ada yang makan. 
Selesai semua, kami berbincang untuk pergerakan seterusnya.

1.00 pm: Bergerak ke Latthurbernan menaiki keretapi menaiki laluan pergunungan Interlaken Alps. 
Sepanjang perjalanan, saya hampir menangis menikmati permandangan yang indah tak terungkap kata-kata melihat keindahan ciptaan Rabb al-Jalil. Pergunungan batuan diselaputi salji putih bergandingan gunung menghijau, di celah batuan ada rumah-rumah kayu kecil berselang selang, di bahagian bawah pula aliran sungai yang jernih berkocak deras mengikut perintah Tuhan. Sungguh indah!

Kami mengambil peluang ambil seberapa banyak gambar untuk kenangan, zikrayyat di masa tua, ceritakan kepada anak-anak betapa indahnya tempat ini. 

4.30 pm: Bertolak pulang ke Balmers Hostel. Akibat kepenatan, lepas solat, semua terus menghempaskan badan atas katil untuk berehat. 

6.00 pm: Sebelum tidur, sekurang kena isi perut lepas seharian hanya bekalan makan roti pagi tadi saja. Di hostel ini disediakan dapur untuk tetamu, aku ambil peluang untuk masak pasta yang aku bawa, aku masak pasta sup dan sosej, nasib baik juga ada juga serbuk lada, paprika ditinggalkan di dapur, aku masukkan sekali untuk beri rasa pada pasta sup tu. 
8.00 pm: Perut pun dah kenyang, sudah tiba untuk lelap. 

Sayonara...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penunggang agama dan Pencarik agama : Sebuah Penilaian Semula

Dirgahayu NegaraKu

95 Hari